Penyanyi rap yang kini bergelar pelakon, MK K-Clique akui wanita yang bernama Siti Hajar adalah teman yang rapat dengannya selain istimewa buat masa ini.

Menurut MK wanita itu juga antara individu yang menjadi tulang belakang dalam kerjayanya.

“Dia antara yang saya boleh katakan rapat dengan saya. Nak kata istimewa ramai juga istimewa seperti keluarga dan peminat yang saya hargai.

“Dia juga antara orang yang menyokong dan menjadi kekuatan dalam kerjaya saya,” katanya kepada Astro Gempak.

MK bercakap kepada Gempak selepas selesai menghadiri program siaran langsung MeleTop malam tadi.

Di dalam program itu, Nabil sebagai hos MeleTop hersama hos jemputan Uyaina Rashid bertanya mengenai nama Siti Hajae yang turut berada di dalam profile Instagram MK.

Apabila ditanya mengenai perancangan untuk mendirikan rumah tangga, MK akui dia perlu banyak lakukan persiapan.

“Belum terlalu fokus ke arah itu (perkahwinan) sekarang ini kita lalui je kehidupan ini benda yang baik insya-Allah dipermudahkan.

“Tunggu nanti bila dah sampai masa saya sudah layak menjadi individu yang lebih bertanggungjawab yang mampu menjaga keluarga dan orang sekeliling,” katanya lagi.

Terdahulu, MK mula terbuka memuat naik gambar seorang wanita yang dipercayai kekasihnya di Instagram dengan kapsyen ‘saya sayang awak’.

Selain itu pula yang membuat ramai peminatnya kecewa apabila penyanyi berusia 26 tahun itu dilihat memimpin tangan kekasihnya, selain tampil berpakaian sedondon warna hitam ketika menghadiri rumah terbuka di sebuah dewan, Syawal lalu.

Mengenai perkembangan kerjaya seninya, MK bakal muncul dalam filem Rompak yang akan ditayangkan di Astro First bermula 16 Jun 2022.

Filem yang turut dibintangi Zizan Razak, Tony Eusoff, Daiyan Trisha, Azhar Sulaiman, Ezlyyn, Niezam Zaidi, Siti Khadijah Halim, dan Chubb E ini bakal menjadi karya filem pertama di Asia Tenggara yang memanfaatkan teknologi NFT.

Filem ini mengangkat tema isu penipuan dan 'scam' yang sering kali berlaku di kalangan masyarakat negara ini.