Penyanyi dan komposer berbakat, Zynakal, 23, menyifatkan status dirinya sebagai 'single but not available'!

Menurut pemilik nama lengkap Muhammad Raziq Rosli itu, dia sedang berkawan dengan seorang gadis dan mengenali satu sama lain.

Zynakal juga masih belum merancang untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat, juga pada usia yang masih muda seperti beberapa orang rakan industrinya.

"Saya masih single tapi tak available, saya ada berkawan dengan seorang perempuan ini, sedang mengenali sesama sendiri.

"Untuk diri saya, mungkin saya fokus pada muzik terlebih dahulu, saya masih belum sampai ke tahap Haqiem Rusli atau Yonnyboii, mereka lebih stabil daripada saya dalam industri muzik ini.

"Untuk berkahwin mungkin jauh lagi, perancangan saya masih belum ke situ, banyak lagi perkara yang saya rancang," katanya.

Zynakal berkata demikian ketika ditemui di Anugerah Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2021 yang berlangsung di The Bee, Publika Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambah Zynakal, dia meletakkan target untuk berkahwin pada usia 30 atau 28 tahun.

"Bagi saya kalau nak kahwin nanti targetnya mungkin pada usia 30 atau 28 tahun.

"Individu yang saya kenali itu tidak lama, kira baru lah juga lagi, dia bukan dari kalangan artis mahupun Instafamous.

"Dari segi ciri-ciri, saya tak cerewet, saya tak ada pilihan yang khusus, kalau saya rasa selesa dengan dia, itu sudah memadai, misalnya kalau dia belum bertudung, suatu hari nanti mungkin dia akan pakai juga," katanya lagi.

Dalam Anugerah MACP 2021 yang berlangsung semalam, Zynakal diangkat sebagai penerima trofi kategori Komposer Muda Berpotensi.

Anugerah MACP adalah satu acara yang memberi pengiktirafan kepada penggiat seni yang banyak menyumbang hasil atau karya untuk perkembangan industri tempatan.

Acara itu tidak diadakan tahun lalu ekoran pandemik COVID-19 yang melanda.

Meskipun kembali diadakan tahun ini, ia diadakan dengan skala kehadiran tetamu yang lebih kecil dalam suasana norma baru dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Hasil royalti kutipan MACP didapati daripada persembahan muzik di stesen-stesen televisyen, radio, konsert, majlis makan malam dan lain-lain organisasi yang mempunyai lesen di bawah badan berkenaan.