HIBURAN
“Dia Campak Buku Saya…” - Insiden Dimarahi Mas Idayu Masih Segar Dalam Ingatan Nadeera
Penyanyi, Nadeera mengimbau kembali pengalaman ketika menyertai pertandingan nyanyian sulungnya sekitar pada tahun 2012.
Lebih sedekad berlalu, Nadeera mengakui insiden dimarahi oleh Mas Idayu yang merupakan salah seorang juri dan tenaga pengajar dalam program tersebut masih jelas dalam ingatannya sehingga kini.
“Pertandingan pertama yang saya sertai merupakan pengalaman yang saya ingat sampai sekarang, pernah kena marah dengan Mas Idayu.
“Mas Idayu ambil buku lirik saya kemudian dia campak, Mas Idayu kata tiada ‘improvise’. Dia suruh saya keluar dari bilik dan cari ‘improvise’ sendiri, dia cakap ‘kau keluar sekarang’,” katanya.
Nadeera berkongsi perkara itu dalam saluran podcast Kita-Kita Aje! yang dikendalikan oleh hos terkenal, Datuk Aznil Hj Nawawi.
Menurut Nadeera, ketika itu gaya nyanyiannya sering terikut-ikut dengan penyanyi asal dan tidak melakukan improvisasi.
“Saya memang ada masalah atau habit yang suka nyanyi terikut gaya penyanyi asal, saya dahulu suka buat perkara itu,” ujarnya.
Mengakui terkedu ketika dimarahi, Nadeera berkata dia terpaksa meminta bantuan daripada peserta lain yang dianggap seperti abang dan kakak dalam pertandingan tersebut.
“Ketika dimarah saya tergamam dan tak tahu nak buat apa. Jadi saya minta tolong abang dan kakak yang juga peserta dalam pertandingan itu untuk mengajar saya.
“Selepas mereka ajar saya, adalah ‘improvise’ yang dapat saya lakukan. Kalau tidak saya memang akan terikut sebiji penyanyi asal,” katanya lagi.
undefined