Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

“Dia Curi Kad ATM Saya Dan Dia 'Kantoi' Lepas…” – Aiman Tino Kecewa Dengan Kawan Baik Sendiri

Fiza Kamarudin 13/11/2019 | 22:00 MYT
Penyanyi Aiman Tino mengakui serik untuk meletakkan sepenuh kepercayaan kepada orang lain selepas ditipu sahabat baik sendiri.
Aiman ketika ditemui Gempak berkata, dia tidak menyangka sahabat yang dikenali sejak sekolah rendah itu sanggup mencuri wang miliknya sehingga mencecah ribuan ringgit.
Kata Aiman, pelaku tersebut mengeluarkan wang menggunakan kad ATM tanpa pengetahuannya beberapa kali.
Tambah Aiman dia hanya menyedari perkara tersebut selepas berasa tidak sedap hati apabila pelaku tiba-tiba memberi alasan mahu keluar dari rumah untuk berjumpa kawan.
“Saya perasan duit dalam bank semakin berkurangan dan tidak pernah mengesyaki apa-apa. Sehinggalah suatu hari tu, saya bangun dari tidur saya nampak dia nak keluar.
“Dia kata nak keluar jumpa kawan, saya tak sedap hati dan tergerak nak tengok dompet. Saya terkejut bila mendapati kad ATM tak ada.
“Saya tunggu dia balik tapi saya tidak bertanya apa-apa kepadanya dan dia mula resah. Agaknya dia tidak tahu macam mana nak letak balik kad tu dalam dompet saya,” katanya.
Aiman Tino tak sangka kawan baik sanggup 'tikam belakang'
Bagaimanapun kata Aiman, perkara tersebut diselesaikan dengan baik dan pelaku sudah pun membayar kesemua wang yang diambilnya.
“Saya cerita kepada mak dan ayah. Kami ke rumah dia dan ceritakan semua kepada bapanya. Tidak mahu memanjangkan cerita bapa dia bayar balik duit saya yang anak dia dah ambik.
“Macam mana dia tahu nombor pin kad ATM saya, mungkin selama ini dia nampak setiap kali saya keluarkan wang. Mungkin la kan.
“Selepas ini saya akan lebih berhati-hati bersahabat. Bukan tak percaya tetapi saya serik…Kawan yang saya kenal sejak sekolah rendah, saya percaya pun…boleh buat macam tu,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Aiman dia telah memaafkan perbuatan sahabatnya itu dan tidak menyimpan dendam.
Aiman ditemui ketika majlis pelancaran single terbaru ‘Benci’ dan album Anugerah Terbaik di Magica Events & Functions Hall, Subang pada petang Rabu.
Muzik video ‘Benci’ turut dilancarkan pada pukul 4 petang, hari sama di laman sosial Youtube Aries Music dan telah ditonton sebanyak 62ribu kali selepas lapan jam dimuat naik.
Sementara itu album Anugerah Terbaik mengandungi Sembilan buah lagu termasuk single ‘Benci’ dan satu lagu bonus yang belum pernah diedarkan berjudul ‘Dendam Simpati’.
Bagaimanapun album penuh itu tidak dijual di mana-mana outlet sebaliknya boleh dimiliki secara tempahan di laman sesawang dailymotion.com/aries-music atau maklumat lanjut mengenainya di laman sosial Facebook @Aries Music Production atau Instagram @ariesmusicpro.
Album Anugerah Terbaik dijual dengan harga RM32.90 sekeping dan 500 tempahan terawal akan diberikan harga diskaun RM29.90.
#Aiman Tino #Tipu
;