Pihak produk tenusu Farm Fresh mengambil keputusan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah yang membuat kenyataan berbaur perkauman mengenai produk tersebut.

Menurut Pengarah Urusan Farm Fresh, Azmi Zainal, individu tersebut telah memohon maaf secara terbuka ekoran dakwaan yang menimbulkan fitnah dan persepsi tidak baik kepada produk tenusu itu.

“Pada awalnya, timbul juga niat untuk menyaman namun individu yang mencetuskan viral tersebut telah memadamkan posting itu dalam masa 24 jam dan memohon maaf.

“Saya dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh, Loi Tuan Ee (Mr. Loi) kemudian berbincang antara satu sama lain dan selepas itu, kami membuat keputusan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap individu terbabit.

“Lagipun dia juga mempunyai isteri dan anak-anak, tambahan pula, sudah semakin dekat untuk kita menyambut Aidilfitri,” katanya.


Mengulas mengenai posting viral tersebut, Azmi menegaskan perkongsian tanpa usul perika dan berbaur perkauman haruslah dielakkan kerana Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum selain harus mempunyai rasa hormat antara satu sama lain.

“Apa yang tak seronoknya viral ini kerana ia melibatkan perkauman dan perkara itu menyebabkan ramai orang tidak selesa.

“Untuk menggunakan isu perkauman dalam apa-apa kenyataan pun bukan satu perkara yang baik kerana ini adalah syarikat Malaysia, truly Malaysian.

“Apa yang saya nak buat dengan Mr. Loi adalah sedikit perkongsian pengajaran supaya jangan buat benda-benda yang rasis.

“At the end of the day, kita tak dapat apa-apa pun... Sebaliknya, ada orang lain yang akan terguris.

“Nasihat saya pada mereka yang suka kongsi tanpa usul periksa, ini adalah satu perkara yang sebaiknya dielakkan.

“Kerana perkara itu boleh mendatangkan ketidakselesaan bukan kepada orang-orang yang ditujukan sahaja tetapi mereka yang berkaitan kerana fitnah-fitnah yang sebegitu.

“Cuba elakkan perkara-perkara negatif ini, kita tak dapat apa-apa pun... Tak dapat untung, cuma kita boleh tunjuk pada orang yang kita lagi hebat sebagai keyboard warior.

“Itu sahaja selain memalukan orang dan itu bukanlah satu sikap yang baik. Saya rasa rakyat Malaysia perlu melihat kepada konteks yang lebih membanggakan,” jelasnya kepada Gempak.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai produk susu Farm Fresh yang didakwa diasaskan oleh seorang lelaki berbangsa Cina.

Tanpa fakta yang kukuh, perkongsian individu yang dikenali sebagai Budiyanto Unggun itu telah membuat kenyataan berunsur fitnah.

Malah, kenyataan status Facebook miliknya juga mencapai lebih 800 perkongsian. Status itu juga menyebabkan ada yang ingin memboikot produk berkenaan.

Disebabkan perkongsian itu juga netizen telah membuat pelbagai spekulasi sehingga membabitkan isu perkauman.

Sedikit perkongsian mengenai Farm Fresh yang diambil menerusi Facebook Azmi Zainal.

Untuk makluman semua, Farm Fresh Sdn Bhd di miliki 100% oleh The Holstein milk Company SB. Dalam syarikat Sdn Bhd ia dimiliki oleh beberapa shareholder / pemegang saham dan mempunyai ahli lembaga pengarah yang dipertanggungjawab untuk mengawal selia operasi syarikat.

Antara pemegang saham THMC ialah Khazanah, Mr Loi, saya dan beberapa rakan lagi. Loi sebagai CEO, saya sebagai COO dan kini kami dibantu oleh saudara Ganesh sebagai CFO. Kami saling melengkapi dan berusaha bersaing dengan syarikat asing demi membangunkan industri tenusu negara.

Dalam kami mengembangkan perniagaan kami berkongsi peluang dgn masyarakat setempat, kami wujudkan peluang pekerjaan seramai 634 orang dan 70 peratus adalah Melayu. Datanglah ke ladang kami, datanglah ke kilang kami di Muazam, ramai anak-anak kampung dan Felda bekerja di sana.

Nasihat brader tak payahlah kita racist, sebaiknya kita bina hubungan baik sesama kita kerana kita ditakdirkan dilahirkan di dalam negara berbilang bangsa akan hidup bersama.