Pihak Astro dan seluruh warga produksi Big Stage 2020 bersimpati dengan berita kemalangan jalan raya yang menimpa bintang BS2020, Sandra Dianne.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, selaku penganjur BS2020, mereka masih menunggu perkembangan terkini mengenai keadaan Sandra yang masih kritikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya sebelum membuat sebarang keputusan lanjut tentang penyertaannya dalam pertandingan ini.

“Sandra mendapat pengecualian bermula minggu ini sehingga tempoh yang diberitahu dan pihak produksi akan tetap meneruskan bayaran penuh elaun 'Big Stage 2020' kepadanya sehingga penganjuran musim ini tamat.

“Kami juga dengan berat hati ingin memaklumkan tentang pelan pelindungan insuran yang diambil ke atas semua program terbitan Astro hanya meliputi pemegang polisi yang berada di dalam kawasan rakaman sahaja,” jelas Emarina.

Emarina ditemui ketika majlis sidang media konsert keempat yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) sebentar tadi.

Apa yang penting bagi pihak produksi sekarang adalah untuk memastikan Sandra kembali sembuh.

“Kami berharap agar Sandra dan keluarganya dapat bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini. Kami juga memohon agar semua pihak dapat memberi masa dan ruang kepada mereka untuk bertenang sehingga keadaan lebih stabil.

“Jika terdapat sebarang perkembangan mengenai perkara ini, pihak Astro akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa,” jelasnya lagi.

Pada Sabtu, Sandra terlibat dalam sebuah kemalangan di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) semasa sedang dalam perjalanan untuk membuat sesi latihan akhir bagi konsert BS2020 minggu ini.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila kereta yang berada di depannya berhenti secara mengejut.

Gempak mendoakan agar Sandra segera sembuh dan diberikan kesihatan yang baik.