Semalam, sepotong video berdurasi sekitar 27 saat yang memperlihatkan seorang lelaki dengan keadaan terburu-buru memecahkan tingkap sebuah kereta viral di media sosial.

Menerusi video berkenaan, lelaki itu dilihat mahu menghulurkan sesuatu kepada pemilik kenderaan tersebut. Namun, disebabkan hanya sedikit ruang sahaja dibuka, lelaki terbabit dengan ganasnya memecahkan tingkap kereta wanita itu.



Sebaik sahaja tingkap kereta berkenaan pecah, tangisan dua kanak-kanak kecil yang berada dalam kereta tersebut mula kedengaran.

Menerusi laman Facebook, tuan empunya video iaitu Amira Nabila berkongsi kisah sebenar di sebalik rakaman viral tersebut. Menerusi kapsyen, difahamkan lelaki berkenaan merupakan suaminya dan mereka dalam proses ingin bercerai.

“Letih laa sial punya perangai pagi-pagi aku kalut nak pergi kerja, celah-celah tu juga nak mai buat hal! Depan anak-anak juga nak tunjuk kelaku.

“Konon tu nak bagi duit dekat anak hang, ingatkan nak hulur beli susu pampers anak. Sekali tu duit aku yang melayang. Family aku dah la tak hebat, tak pasal dok kena perosah repair cermin dekat aku, seratus dua pun main dengan family tak hebat ni nampak nilai tu besar, boleh beli susu pampers anak stok untuk dua minggu.

“Sebelum cerita ni di play victim, aku nak habaq sesiap pasaipa aku buka tingkap sesuku saja. Sehari sebelum kejadian, dia bawa pelari beg dokumen aku yang ada dalam kereta. Sebab tu hari ni aku buka tingkap sikit ja, kalau buka tingkap full, memang kena jerat laa macam sebelum-sebelum ni yang dok jadi dah,” katanya.

Dalam pada itu, Amira turut menjelaskan yang suaminya pernah mengugut untuk mengambil keretanya.

“Lagipun aku berhati-hati kali ni sebab sebelum ni dia dok ugut nak ambil kereta aku, siap mention nak bakar lagi. Sebelum ni juga dah berkali-kali jadi dok berebut kunci kereta dengan aku, sampai buang angin tayar kereta pun ada. So aku dah sampai tahap tak larat dah nak hadap benda ni.

“Kami dalam proses perceraian, dan sudah tak duduk skali sejak April 2021. Jadi statement ni aku bawa keluar siap-siap sebelum ada orang lain dok plot twist certa jadi kot lain lepas tu dok claim aku putar belit bagi carca marba keadaan ka apa ka aku ada video ni sebagai bukti. Post aku bukan nak provok siapa-siapa cuma kalau rasa terprovok, cek balik. Salah tetap salah,” tulisnya.