BIG STAGE ALPHA
“Dia Ibarat Whitney Houston, Celine Dion” - Izat Ibrahim Kagumi Bakat Aina Abdul
Bintang Big Stage Alpha (BSA), Izat Ibrahim akui penyanyi, Aina Abdul banyak memberi inspirasi kepadanya untuk menempuh cabaran dalam industri seni.
Jelas Izat, semangat juang Aina yang kental walaupun sering berdepan dengan pelbagai kecaman membuatkan dirinya lebih menghargai perjalanan seni yang dilalui.
“Saya minat Aina Abdul sebab saya rasa dia seorang yang tidak pernah mengalah, kami sebenarnya berkongsi kisah yang sama. Saya suka dengan semangat dia meskipun orang kecam dia ke apa dia tetap berdiri di atas pentas dan berikan yang terbaik.
“Macam tu juga dengan saya sebab saya malas mahu ambil pusing dengan apa kecaman yang orang berikan, apa yang penting bagi saya adalah untuk capai tujuan saya berada di pentas yang membuka ruang bagi saya menjadi salah seorang ahli kumpulan A7PHA,” katanya.
Dalam pada itu, Izat turut memuji kehebatan vokal Aina yang disifatkan sebagai unik dan sedap di dengar.
“Aina punya vocal belts itu pada saya tidak bising, dia tak menyakitkan telinga ia sedap. Dia wow macam Whitney Houston, Celine Dion tapi saya rasa semua orang ada pendapat masing-masing dan kita tak boleh ada seluruh dunia untuk suka kita.
Apa yang penting kita tahu ada peminat yang menyokong perjalanan karier seni kita,” tambahnya.