DRAMA

Dia Imamku Tonjol Sisi Lain Siti Saleha, Dah Tahu Bakal Dikecam - “Ada Sebab Kenapa Chempaka Humairah Jadi Biadap & Kurang Ajar”

Mya Amri 03/03/2025 | 08:55 MYT
Sudah lama tidak beraksi di kaca televisyen, kini pelakon, Siti Saleha memberikan tekanan ‘emosi’ kepada penonton menerusi drama Dia Imamku.

Penonton bakal sakit hati dengan watak Chempaka Humairah

Memegang karakter sebagai Chempaka Humairah telah memberikan satu sisi lain Saleha yang akan membuatkan penonton berasa sakit hati dengan perangai dan kebiadaban watak tersebut.

Namun inilah antara sebab yang menyebabkan Saleha memilih untuk menerima tawaran yang diberikan kepadanya.

“Saya bersyukur mendapat tawaran dari Kak Siti Rosmizah selepas karya yang terdahulu. Buat saya, citarasa dan pemilihan watak sangat penting dan saya kalau boleh mahu memainkan watak wanita yang dominan.

“Saya tidak mahu mainkan watak wanita dipukul dan lemah. Jadi bila dapat tawaran watak Chempaka, saya tahu novel ini ada pengikutnya dan jalan cerita sangat kuat sebab ia merupakan karya Kak Siti Rosmizah. Saya percayakan karyanya,” jelasnya.

Dah sedia dikecam kerana watak

Mengetahui karakter Chempaka Humairah bakal dikecam, Saleha berharap kecaman itu ditujukan pada watak yang dibawakan dan bukan dirinya.

“Ada sebab kenapa Chempaka Humairah jadi begitu biadap dan kurang ajar dan saya mengambil ini sebagai salah satu cabaran buat diri saya.

“Dia berkelakuan begitu kerana sebab-sebab tertentu. Tema pengorbanan, cinta dan keluarga membuatkan saya menerima tawaran drama ini selain sudah lama tidak muncul di kaca tv.

“Saya juga gembira mendapat tawaran untuk bekerjasama sekali lagi dengan Kamal Adli,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:6 Bulan Jalani Penggambaran ‘Dia Imamku’, Kamal Adli Nak Tebus ‘Hutang’ Masa Bersama Keluarga - “Saya Banyak Terlepas…”

ARTIKEL BERKAITAN:Drama ‘Dia Imamku’ Mula Malam Ini! Karya Terbaik Siti Rosmizah Kembali Di Slot Megadrama

ARTIKEL BERKAITAN:Berdiri Atas Satu Pentas Dengan Pelakon Korea, Netizen Terpesona Dengan Kecantikan Siti Saleha

Banyak pengajaran

Menyeru penonton untuk menggali pelbagai pengajaran dalam drama ini, lapisan emosi dan perasaan yang dibawakan Chempaka Humairah akan membawa kepada penyebab kenapa dia menjadi seorang pendendam.

“Banyak pengajaran yang saya sendiri dapati dari drama ini. Salah satunya kenapa Chempaka Humairah menjadi seorang yang cukup pendendam.

“Saya belajar, apa pun yang kita lakukan, jika Allah sudah beri pentunjuk kepada jalan yang betul, maka jangan keras kepala dan melawan cakap ibu bapa.

“Kerana keluarga serta ibu bapa adalah kunci kebahagiaan kita. Jangan tunjuk angkuh dan sombong kerana pada akhirnya ia tidak berbaloi,” katanya.

Selepas kejayaan Takdir Itu Milik Aku dan Andai Itu Takdirnya, Siti Rosmizah kembali dengan satu lagi karya hebat berjudul Dia Imamku.

Saksikan Dia Imamku, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria dan strim eksklusif di Astro One dan sooka.

Sinopsis:

Drama 52 episod ini mengisahkan Cempaka Humairah (Siti Saleha), seorang wanita jelita yang terpaksa menjalinkan hubungan dengan Budin (Kamal Adli), seorang pemandu.

Walaupun diherdik dan diuji emosi setiap hari, takdir tetap menemukan cinta antara mereka.

Perjalanan kisah mereka dipenuhi dengan konflik ego, perasaan dan kesabaran, menjadikan Dia Imamku bukan sekadar kisah cinta biasa, tetapi satu perjalanan emosi yang bakal meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

#Siti Saleha #Drama #Dia Imamku #Chempaka Humairah