Pelakon, Anne Ngasri mengakui meminta bimbingan daripada kakaknya iaitu Darling Ngasri untuk filem terbaharunya berjudul Jemputan Ke Neraka.

Menurut Anne, Darling merupakan mentornya dalam perfileman selain mempunyai lebih pengalaman dalam bidang penerbitan.

“Saya mengaku sebagai penerbit baharu saya mendapat banyak bimbingan dan tunjuk ajar daripada Darling sebab dia lebih berpengalaman dalam bidang penerbitan.

“Jika tanpa Darling rasanya sukar juga untuk saya menerbitkan filem kerana jadual kerja yang agak padat.

“Darling sememangnya seorang mentor saya dalam bidang penerbitan sebab itu dia menjadi penerbit penyelaras.

“Bukanlah tidak yakin dengan orang lain, tetapi kerana ini filem sulung produksi saya, jadi kalau boleh saya mahu semuanya mengikut kehendak dan piawaian yang ditetapkan.

“Darling sudah berpengalaman dan juga kakak saya, jadi dia tahu apa yang saya inginkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Darling ketika diminta mengulas mengenai naskah itu berkata dia mencadangkan genre psiko thriller seram untuk filem pertama Anne kerana yakin genre sebegitu lebih mudah diterima penonton.

“Saya suka penulisan dan kerja Amor Rizan serta yakin dengan kualiti kerjanya. Sebenarnya ini juga filem pertama Amor, jadi bukan kami sebagai penerbit sahaja yang berdebar tetapi Amor juga.

“Alhamdulillah walaupun judul filemnya agak ‘daring’, tetapi pihak Lembaga Penapis Filem (LPF) telah mengklasifikasikan filem ini sebagai P13.

“Tidak ada babak yang dipotong sepanjang proses penapisan kerana kami memang berjaga-jaga agar filem ini sesuai dengan penonton Malaysia. Sayanglah jika filem ini tidak dapat ditonton secara meluas,” ujarnya.

Filem arahan Amor Rizan ini diterbitkan di bawah produksi milik Anne iaitu AN Universal Sdn. Bhd.

Darling juga turut menggalas tugas sebagai penerbit penyelaras.

Filem ini dibintangi oleh Janna Nick, Sharifah Sakinah, Hafreez Adam, Hariz Hamdan, Amy Nurtinie, Nick Syaf, Jasper Supayah, Wafariena Roslan, Alif Hadi, Aleza Shadan dan Azhar Amir.

Filem Jemputan Ke Neraka akan menemui penonton pada 22 Jun ini.