Biarpun kehadirannya agak baru dalam industri hiburan, namun lakonan Hero Remaja 2020 Nadhir Nasar dalam Projek: Anchor SPM telah berjaya ‘membuka mata’ ramai pihak.

Membawakan watak Hilmi iaitu seorang ketua pelajar yang bergolak dengan soal cinta dan persahabatan, Nadhir dikatakan telah membawa karektar tersebut dengan cemerlang.

Malah, menerusi platform Twitter, ramai netizen dilihat tidak henti-henti memuji gaya lakonannya yang dikatakan cukup berkesan.

Menurut Nadhir, persediaan ‘script reading’ yang mengambil masa hampir sebulan untuk Projek: Anchor SPM mungkin antara faktor kejayaan berkenaan.

“Kalau nak tahu kami pelakon Projek: Anchor SPM ambil masa lama juga untuk ‘script reading’.

“Persediaan main peranan cukup penting. Seminggu tu dalam tiga empat kali saya datang untuk persediaan menjadi Helmi, begitu juga pelakon lain,” katanya.

Tambah, bantuan daripada pengarah, pasukan produksi dan pelakon lain juga memain peranan penting dalam membina sesuatu karakter.

“Razaisyam, Anwari, producer, pelakon lain semua banyak bantu saya bagaimana nak bina karakter Hilmi.

“Namun, paling banyak guide saya adalah Anwari, dia dah macam bapa saya dalam Projek: Anchor SPM.

“Setiap kali babak Hilmi, saya akan tanya adakah patut saya buat macam ni atau tak. Watak Hilmi ni fiksyen jadi agak susah, jadi kena tahu apa yang pengarah mahu.

“Dia pun akan panggil saya, tanya saya dari segi diri sendiri dan dari segi Hilmi.

“Senang kata, Anwari main peranan cukup penting untuk jadikan karakter Hilmi tu berjaya.

“Begitu juga pelakon lain macam Aedy Ashraf, dia banyak bantu walaupun saya baru. Dia nasihatkan saya supaya tidak teragak-agak. Dalam lakonan ni tiada betul tiada salah,” katanya kepada Gempak.

Apapun jangan lupa saksikan Projek: Anchor SPM setiap Isnin jam 9 malam di Astro Citra.

Sebagai alternatif dan jika terlepas menonton, anda juga boleh saksikan Projek: Anchor SPM platform Astro GO atau On Demand.

Sekadar info, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.

Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPM.

Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.