Penyanyi Datuk Hattan menyatakan beliau tidak ingin anak lelakinya, Adam Eiman, 22, mengabaikan pembelajaran biarpun sedang aktif dalam dunia muzik.

Menurut Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin, 56, berkata, Adam seorang anak yang pandai dan sering memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

"Walaupun dia sudah menceburi dunia muzik tapi saya nak beri dia tumpuan kepada pembelajaran meskipun aktif dalam dunia muzik.

"Dia memang seorang anak yang pandai sebab itu saya tak kisah apa yang dia nak buat," katanya kepada Gempak.

Adam kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perhubungan awam dan acara di sebuah universiti di ibu kota.

Tambah pelantun lagu Gadis Jolobu ini lagi, Adam seorang anak yang tidak suka keluar melepak dan bersuka ria bersama kawan-kawannya.

"Saya tak kisah dia nak keluar sekali sekala pergi bersuka ria dengan kawan-kawan tapi tidak boleh pergi ke tempat yang bukan-bukan seperti kelab malam.

"Tapi Adam ni hanya dengan dunia dia dalam bilik studio buat lagu. Dia tak suka lepak. Sampaikan kadang-kadang saya yang suruh dia keluar berjumpa kawan.

"Boleh katakan dia seorang anak yang tidak banyak menyusahkan ibu bapa. Pandai cari duit sendiri dengan menjual pakaian lamanya secara online," katanya lagi.

Sekadar info, Adam atau nama sebenarnya, Adam Eiman Mohd Shukri merupakan anak tunggal Hattan dan isteri, Datin Arianie Mohd Abidin.

BACA: Adam Eiman Tak Tumpang Populariti Bapa - "Saya Tak Pernah Beritahu Dia Nak Masuk Industri Seni"