Peguam kepada warga Bangladesh Md Rayhan Kabir yang bakal diusir keluar dari negara ini, menyampaikan permohonan maaf anak guamnya kepada rakyat Malaysia.

Sumitha Shaanthinni dan C Selvaraja yang dilantik keluarga Md Rayhan sebagai peguam bela berkata, anak guam mereka tidak berniat menyakiti perasaan rakyat Malaysia.

“Kami sudah berjumpa dengan Md Rayhan Kabir dan dia meminta kami menyampaikan permohonan maaf jika apa yang dikatakannya itu menyakiti perasaan rakyat Malaysia dan kerajaan.

“Dia tidak berniat menyatakan apa-apa untuk menyakiti perasaan rakyat Malaysia dan kerajaan.

"Apa yang diperkatakannya itu adalah pandangan peribadi dan reaksinya terhadap apa yang dilihatnya mengenai orang yang ditahan ketika Covid-19," kata K Sumitha Shaanthinni dan C Selvaraja.

Selvaraja dan Sumitha berkata, setakat ini Md Rayhan memberitahu dia menerima layanan yang baik dalam tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Tambah Selvaraja dan Sumintha lagi Md Rayhan menyatakan hasrat ingin pulang secepat mungkin untuk bersama keluarganya.

Sumitha berkata, Md Rayhan juga disoal siasat oleh pegawai polis Bukit Aman dan sudah memberikan 112 kenyataan berhubung pembabitannya dalam video berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan pihaknya sudah mengambil keterangan Md Rayhan semalam dan hari ini.

"Keterangan Md Rayhan diambil jam 10 pagi semalam dan disambung hari ini bagi membantu siasatan.
"Perkembangan siasatan akan dimaklumkan nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Md Rayhan ditahan sepasukan pegawai dari Unit Risikan Operasi JIM Putrajaya di Setapak, Kuala Lumpur, pada jam 5.45 petang Jumaat lalu selepas mengkritik kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing yang disiarkan Al Jazeera dalam dokumentari berjudul Locked Up in Malaysia's Lockdown.

Rentetan kritikannya itu, Md Rayhan akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Sumber: Harian Metro