Biarpun status rumah tangga masih menjadi tanda tanya, namun hubungan Shuk Sahar dan Rossa Sera dilihat semakin baik selepas isteri pelawak itu berkongsi video di Instastory.

Menerusi satu video yang dimuat naik di Instastory, Sera merakamkan momen Shuk bersama anak-anak semasa menghantar pelawak itu mengerjakan ibadah umrah, baru-baru ini.

“Saya gembira dia dapat jemputan ke sana dan lagipun ia satu perkongsian yang baik. Jadi, tak ada salah pun kalau saya nak kongsi atau repost Instastory dia,” katanya kepada Gempak.

Selain itu, Sera juga turut berkongsi kembali video memperlihatkan Shuk sedang berbual dengan anak-anaknya menerusi panggilan video.

Mengakui perubahan Shuk yang lebih baik, Sera memberitahu dia juga ada mengirim doa kepada suaminya yang masih berada di Tanah Suci.

“Sudah tentu saya ada minta doa yang baik-baik, bukan saja dari segi rumah tangga kami saja, tapi dari Shuk sendiri mesti dia pun nak yang baik-baik dalam hidupnya.

“Saya pun gembira dengan keadaan sekarang. Shuk dengan anak-anak semakin baik. Shuk pun dah nampak lebih baik dari sebelum ini yang umum tahu,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Sera atau nama sebenarnya Rossalenah Natassyaih Asshaferah berkata keputusan untuk kembali bersama atau tidak masih dalam perbincangan.

“Nak cakap soal terima Shuk semula tu, saya tak boleh nak beri komen apa-apa. Sebab masih dalam perbincangan antara keluarga.

“Banyak pihak terlibat dalam proses perbincangan. Setakat ini tak ada komen untuk saya terima dia balik atau sebaliknya,” ujarnya.

Terdahulu, Rossa muncul menerusi program MeleTOP menjelaskan hubungan mereka sudah menemui noktah dan sudah mengambil keputusan terbaik untuk kedua-dua belah pihak, pada awal Julai lalu.

Sebelum ini, Sera pernah mendedahkan sudah memfailkan cerai terhadap Shuk pada November tahun lalu.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 5 dan Nur Assyifatu Aimi, 2 tahun.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.

Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!