Aktres jelita, Nur Fazura berkongsi pengalamannya melihat makhluk misteri yang dipercayai kelihatan seperti puntianak.

Menurut Fazura, dia melihat makhluk misteri itu ketika sesi penggambaran filem terbaru lakonannya iaitu Dendam Pontianak.

"Penggambaran filem ini dijalankan kira-kira dua tahun lalu, saya melakonkan watak utama sebagai puntianak.

"Pada satu malam, kira-kira jam 2 atau 3 pagi, saya diberitahu oleh pihak produksi bahawa ada makhluk misteri berdiri di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi penggambaran kami.

"Apabila saya lihat rumah itu, saya betul-betul nampak makhuk yang kelihatan seperti puntianak dan memakai pakaian yang sama dengan apa yang saya pakai dalam filem tersebut,"
katanya kepada Gempak.

Fazura berkata demikian ketika ditemui di sidang media filem Dendam Pontianak bertempat di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur petang semalam.

Dalam pada itu, Fazura menambah, watak puntianak yang dilakonkannya dalam filem itu agak berbeza dari puntianak dalam filem lain sebelum ini.

"Sedikit mengenai watak saya dalam filem ini, saya menjadi puntianak yang tidak kelihatan buruk dan menyeramkan, saya hanya memakai kebaya dan berhias cantik, namun masih memberi rasa seram kepada penonton," ujarnya.

Filem Dendam Pontianak yang diedarkan secara rasmi oleh Primeworks Studios ini turut menampilkan Remy Ishak, Hisyam Hamid, Namron, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.

Ia bakal menjengah pawagam di seluruh negara bermula 12 September ini, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!