Penderitaan dialami isteri kepada penunggang motosikal yang maut selepas dirempuh kereta dipandu lelaki mabuk awal pagi 1 Jun lalu turut mendapat perhatian penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Perkara itu diluahkan menerusi satu posting di Instagram Story miliknya hari ini.

Difahamkan, isteri Allahyarham Mohamed Zaili Mohamed iaitu Zahlawati Zahlan, pernah menghantar makanan kepada Siti Nurhaliza pada bulan Ramadan lalu.

"Saya turut bersedih dengan kejadian menimpa keluarga Yatie.

"Salah seorang pengusaha makanan yang sempat saya buat review makanan semasa bulan Ramadan," katanya.

Menerusi posting itu juga, Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa Tok Ti turut mengajak orang ramai supaya membantu Zahlawati dengan memberikan sumbangan terus ke akaun banknya.

"Mari kita sama-sama membantu. Al -fatihah," katanya.

Anda boleh lihat posting tersebut di bawah.

Terdahulu, dalam kejadian pada jam 1.30 pagi kelmarin, Mohamed Zaili dilaporkan maut selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara.

Mangsa berusia 44 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.