Laman Utama
"Dia Pinjamkan Duit Untuk Orang Lain" - Isteri Dedah Peribadi Mulia S Atan
Isteri kepada komposer popular S Atan, Norizan Yeob, 58, terharu apabila sikap positif suaminya membuatkan ramai yang menyenangi figura hebat itu dari dulu sampai sekarang.
Kata Norizan, dia bersyukur dikurniakan suami yang baik dan bertanggungjawab, malah berbesar hati dengan keraian ulang tahun kelahiran S Atan yang ke-73 baru-baru ini.
"Sebagai isteri sudah tentulah saya melihat kesungguhannya untuk terus membahagiakan keluarga sebagai suatu anugerah. Bagaimanapun, ada satu sikap yang saya nampak ialah beliau ni suka gembirakan kawan-kawan sekeliling.
"Pernah dia pinjamkan duit, demi untuk kesenangan orang lain. Memang dia nak sangat membahagiakan kawan beliau. Sampaikan ada ketikanya saya sendiri rasa pelik dengan suami sendiri.
"Kadang-kadang saya ada cakap kepadanya, tak boleh begini. Nanti orang akan fikir lain. Cuma itulah… dia suka tengok orang lain bahagia. Tapi kami tidak pernah terfikir pun untuk dapat balasan daripada apa yang dilakukan.
"Malah bila adanya sambutan hari jadi yang dianjurkan khas kepada suami, saya bagi pihaknya rasa syukur dan terharu. Terima kasih.
"Ramai rakan artis, sahabat dan peminat yang hadir termasuk dari Singapura meski ada yang awal-awal lagi beritahu tak berkesempatan untuk datang atas kekangan tersendiri, akan tetapi kami memahami. Cuma atas kapasiti yang terhad, saya pun nak mohon maaf," katanya.
Mata kiri S Atan tak berfungsi
Dalam pada itu, S Atan yang menginjak usia 73 tahun bersyukur dengan kekuatan dan rahmat kesihatan yang dikurniakan Allah sehingga kini biarpun berdepan masalah kesihatan mata kirinya.
"Alhamdulillah, tiada apa rahsia pun sebenarnya. Cuma saya kalau ambil makanan (berat) sekali sehari sudah cukup. Begitu juga dengan kualiti tidur. Cuma sebelah mata kiri saya sahaja yang tidak sudah tidak nampak," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Jadi Haji S Atan Yang Ke-73 di Hotel Royal Chulan Damansara, pada Isnin.
Hadiah hari jadi S Atan
Sementara itu, ahli pernigaaan Datuk Seri Rohaizat Musa, 46, yang sudi meraikan sesi sambutan berkenaan sebagai ‘hadiah’ menyatakan rasa gembira kerana majlis berjalan lancar sebagaimana yang diharap-harapkan.
"Kalau boleh, saya mahu ulang tahunnya kali ini menjadi suaru momen yang bermakna, jadi kenangan terindah. Malah kalau kita lihat, ramai selebriti senior hadir yang secara tak langsung menunjukkan wujudnya satu perhubungan yang baik dengan beliau. Saya dan isteri pun meminati beliau," katanya.
Terdahulu pada 14 Mei lalu, sebuah konsert tribut istimewa dianjurkan khas bagi menghargai jasa lebih empat dekad S Atan dalam mewarnai industri muzik tempatan mdenerusi barisan lagu raya yang menggamit memori.
Konsert Cahaya Aidilfitri – A tribute to S. Atan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dengan pimpinan konduktor, Ahmad Muriz Che Rose itu turut diserikan dengan persembahan daripada tiga penyanyi handal Malaysia iaitu Datuk Jamal Abdillah, Jay Jay dan Azlina Aziz.
Must-Watch Video