Berita
"Dia Sanggup Datang Dari Kuala Berang Untuk ...." - Kes Individu Pertikai DNA Anak, Abam Bocey Anggap Selesai
Pelawak kumpulan Bocey, Abam mengakui bersyukur apabila dapat bertemu dengan salah seorang pengikutnya di laman sosial Facebook yang memuat naik komen menjijikkan mengenai anaknya yang baru dilahirkan Jumaat lalu.
Menurut laporan Harian Metro, Abam berkata, dia menganggap bahawa kes tersebut telah selesai selepas lelaki berusia dalam lingkungan 50-an yang menggunakan nama Lau Kok Chan di Facebook itu datang ke rumahnya bersama isteri dan dua anaknya dari Kuala Berang, Terengganu, semalam.
"Alhamdulillah, semuanya selesai dan kami sudah berbaik. Harap semua orang jangan marah-marah lagi.
"Untuk saya, sudah selesai. Orang datang cara baik ke rumah, kita sambutlah dengan baik juga. Alhamdulillah, syukur. Dia sanggup datang dari Kuala Berang untuk berjumpa saya.
"Saya doakan pakcik itu selamat kembali ke Terengganu. Di antara kami, sudah tak ada apa-apa lagi," katanya.
Sebelum itu, gambar Abam bersama seorang lelaki terbabit tular selepas dimuat naik adiknya, Syed Ali di Instagram, hari ini.
Abam berkata, perbincangan dilakukan secara muafakat bersama lelaki itu dengan disaksikan ahli keluarganya. Bagaimanapun, Abam enggan mengulas lanjut mengenai perjumpaan mereka dan menganggapnya sudah selesai.
Abam mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihannya, Siti Norhidayah pada 8 Disember 2017 dan mereka dikurniakan seorang bayi lelaki, Jumaat lalu
Sejak isu komen penghinaan ke atas Abam itu hangat diperkatakan, usaha dilakukan untuk menjejaki individu terbabit.
Di atas keprihatinan dan bantuan maklumat diberikan rakan-rakan, Abam berjaya menjejaki 'Lau Kok Chan' walaupun akaun Facebook lelaki terbabit sudah dipadamkan.
Sumber: Harian Metro