“Dia Satu Dalam Sejuta - Pernah Kagum & Respect Pengasas Rumah Bonda, Uyaina Kini Menyesal?
Pernah melahirkan rasa kagum dan menghormati Siti Bainun Ahd Razali, pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, akui terasa ‘terpukul’ dengan dakwaan terhadap pengasas Rumah Bonda terbabit.
Uyaina kini bersama seluruh masyarakat dan netizen menyokong pembelaan buat Bella agar pelaku yang mendera kanak-kanak sindrom down itu dikenakan hukuman undang-undang.
“Saya akui pernah menemu bual Bainun untuk sebuah program dua tahun lepas.
“Bila menemu bual, saya begitu kagumi dia, hormati dia.
“Usia dia baru 28 tahun ketika itu tapi dia sanggup mengenepikan zaman mudanya untuk berbakti, menjaga anak berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
“Betul-betul kagum dengan dia masa itu. Dia tak kahwin lagi, mendedikasikan hidup pada hal kebajikan, bagi saya, dia satu dalam sejuta,”katanya.
Bagaimanapun, kata Uyaina, rasa menyesal itu mula muncul apabila satu persatu episod hitam dan penganiayaan terhadap Bella mula tersebar dan dibicarakan di mahkamah.
“Tentulah saya rasa terkejut dan kecewa. Satu persatu terbongkar.
“Betul kata orang, kalau kita nak kagumkan seseorang iu, jangan sampai terlalu taksub. Sekarang ini, senang saja kita nak taksub.
“Rasa menyesal pun ada saya. Itulah, kita tak pernah tahu kebenaran sehinggalah semua dilondehkan,”katanya.
Bagaimanapun, kata pelakon ini, dia sedar sebagai seorang individu, seharusnya setiap daripada pemerhati kes ini memberi peluang kepada mahkamah untuk menjalankan ‘tugas’ mereka.
“Kes ini pun masih dibicarakan di mahkamah. Tak adil untuk kita semua suka-suka nak cakap apa-apa. Saya harap kes ini dapat diselesaikan dengan cepat. Yang salah, harus dapat hukuman setimpal dan semaksimumnya,” katanya.
Uyaina berkata demikian semasa ditemui di majlis berbuka puasa dan tayangan program raya Astro 2022 di ibu kota, baru-baru ini.