Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Dia Sentiasa Konsisten Terhadap Cinta Serta Perhatiannya Pada Kerjaya Seni” - Sofia Jane Puji Konsistensi Sheri Merlis Dalam Bidang Lakonan

Izwan Isa
15/09/2021 12:00 MYT
Siapa sangka, rupa-rupanya pelakon Datin Sofia Jane pernah bekerjasama dengan Sheri Merlis buat kali pertama sekitar 30 tahun menerusi sebuah drama berjudul Psiko.

Menerusi akaun Twitternya, Sofia yang menggunakan gelaran @MemHanyut itu memuat naik keratan akhbar lama bertarikh 21 Disember 1991 sambil mengimbau kembali saat pertama kali berjumpa dengan Sheri.

“Mengimbau kembali saat penuh kasih sayang sewaktu kami masih muda. Saya bertemu Sheri pada tahun 1991. Ketika itu dia baru sahaja bermula (sebagai pelakon).

“Dia sentiasa konsisten terhadap cinta serta perhatiannya pada kerjaya seni. Saya sangat gembira apabila melihat dia berada dalam elemennya menerusi I-Tanggang yang ditayangkan malam ini.

“Kita perlu bercakap lebih banyak tentang Sheri Merlis,” tulisnya.



Meninjau ruangan balasan, ramai yang bersependapat dengan Sofea. Menerusi satu ciapan, seorang pengguna Twitter menyatakan bahawa Sherie selayaknya menerima lebih perhatian.

Sofia lalu menjawab: “Saksikan dia menerusi I-Tanggang jika berkesempatan dan berikan dia sorakan yang besar,” ujar Sofea lagi.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofea Jane, Andy Teh dan Rashidi Ishak, drama I-Tanggang bakal disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.
#Drama #Sofia Jane #Sherie Merlis #I-Tanggang
;