"Dia 'Teman Tapi Mesra' Saya" - Daiyan Trisha Akui Hafeez Mikail Lelaki Paling Rapat

Amri Hassan
November 21, 2017 11:27 MYT
Pelakon dan penyanyi jelita, Daiyan Trisha mengakui sedang berkawan rapat dengan pelakon kacak Hafeez Mikail.
Jelas Daiyan, 23, sejak digandingkan bersama ketika penggambaran filem Busker pada Disember tahun lalu, hubungan mereka menjadi lebih akrab namun tidak meletakkan status mereka sebagai pasangan kekasih.
"Dia adalah kawan baik saya dan kami sering keluar bersama untuk lepak.
"Selepas terbabit dalam penggambaran filem Busker tahun lalu, kami masih kekal berhubung dan sekarang berjumpa lebih kerap demi mempromosikan filem itu.
"Malah, ketika showcase #KitaManusia pada 2 November lalu pun dia ada datang memberikan sokongan kepada saya.
"Untuk meletakkan hubungan kami ke arah pasangan kekasih, saya tidak boleh memberikan komen lanjut kerana semuanya perancangan Allah.
"Cuma buat masa sekarang, saya sifatkan dia 'teman tapi mesra' saya," katanya kepada Astro Gempak.
Kisah antara Hafeez, 25, dan Daiyan mulai diperkatakan sejak Ahad lalu apabila mereka sering dilihat bersama sejak akhir-akhir ini.
Baca: Daiyan Trisha, Hafeez Mikail Bercinta?
"Kebetulan pada acara EH Top 20 kami mendapat jemputan dan apa salahnya untuk datang bersama-sama," tambah Daiyan.
Penyanyi lagu Stargazing itu mengakui Hafeez memiliki ciri-ciri seorang lelaki yang penyayang dan sentiasa mengambil berat tentang dirinya.
"Dia seorang lelaki yang baik dan budiman. Ketika saya demam tempoh hari dia tidak putus-putus bertanya khabar," katanya.
Filem Busker bakal ditayangkan pada 11 Januari depan.
Busker, menampilkan cinta remaja di zaman kolej, diarahkan oleh Syed Khairul Fariz dan dijayakan pelakon baru dan popular seperti Hafeez Mikail, Daiyan Trisha, Anas Ridzuan, Bulan, Lia Natalia dan Mas Khan.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @daiyantrisha
#Daiyan Trisha #Daiyan Trisha #Hafeez Mikail #Busker