Berita
“Dia Tengah Mencuba, Tapi...”- Nabil Ahmad Komen Isteri ‘On-Off’ Tudung
Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad mengakui isterinya, Zira Ayub kini dalam proses memperbaiki dirinya untuk berhijrah dan berhijab ketika menjalani penggambaran program realiti, Oh My Family musim kedua baru-baru ini.
Menurut Nabil, ketika penggambaran program itu yang berlangsung kira-kira sebulan lalu, Zira bertudung sepenuhnya dan kini telah kembali ke imej asal.
“Masa program ini saya boleh katakan Zira sedang mencuba untuk berhijab.
“Sebagai suami saya sudah tentu menyokongnya tetapi bila dia hendak buka kembali tudung saya tidak pernah memaksa.
“Bagaimanapun saya juga tidak pernah berhenti mencuba memberi galakan kepadanya supaya akan ada kesedaran untuk berhijab,” katanya kepada Gempak.
Pengacara Gegar Vaganza 5 (GV5) itu ditemui selepas pelancaran Oh My Family! Musim kedua di Hornbill Restaurant & Cafe, KL Bird Park, pada Rabu.
Mengulas mengenai penglibatannya dan isteri serta dua anaknya, Naera Mikayla, 6, dan Leyla Medyna, 3, dalam program tersebut, Nabil mengakui ia merupakan satu pengalaman yang menggembirakan.
“Bila ada program begini, saya tidak teragak untuk ambil peluang kerana ia melibatkan aktiviti bersama keluarga.
“Malah anak-anak saya seronok kerana dapat melakukan aktiviti dan cabaran ‘outdoor’ sebegini,” katanya lagi.
Oh My Family! merupakan rancangan realiti kekeluargaan berbentuk hiburan berpendidikan yang menampilkan barisan selebriti popular bersama anak-anak mereka.
Selain keluarga Nabil, ia turut menampilkan Black Hanifah bersama anaknya, Khaleef Dayyan; pasangan Shuib dan Siti Sarah bersama anak mereka Uwais Alqarni dan Dzahira Talita: keluarga Sharifah Shahira dan anaknya Airra dan Audrra serta penampilan istimewa pasangan selebriti Indonesia Ussy Sulistiawaty dan Andhika Pratama bersama anaknya Saherla Eleanor Amerra.
Oh My Family yang mempunyai lapan episod ini bakal mula bersiaran pada 10 Oktober ini di Astro Ria (saluran 104), Ria HD (saluran 123) dan Astro Ceria (saluran 611) pada setiap Rabu jam 9 malam.