Laman Utama
Dian Hashim Nyanyi Runut Bunyi 7 Minggu Sebelum Kahwin
Label independen KRU Music yang terkenal dengan pengeluaran runut bunyi filem seperti “Sedetik Lebih” (Anuar Zain bagi filem “Hikayat Merong Mahawangsa”), “Penyembuh Rindu” (Mawi & Diana Danielle bagi filem “Magika”) dan “Aspalela” (Saiful Apek bagi filem “Duyung”) meneruskan legasi dengan mengeluarkan single berjudul “Petanda” dari penyanyi baru, Dian Hashim bagi filem romantik komedi berjudul “7 Minggu Sebelum Kahwin” lakonan Nora Danish dan MK K Clique.
“Petanda” merupakan single kedua dari Dian Hashim selepas single pertamanya berjudul “Aku Wanita” yang dikeluarkan pada bulan Ogos 2020 ketika negara mengharungi detik-detik sukar pandemik Covid-19 sehingga mengekang pelbagai aktiviti promosi bagi lagu tersebut.
Kali ini, Dian kembali dengan aktiviti pemasaran yang lebih tersusun dan antara strategi yang baik untuk memperkenalkan artis baru sepertinya adalah melalui runut bunyi filem.
Penyanyi berumur 23 tahun lulusan UiTM dengan diploma jurusan muzik ini tidak pernah berputus asa meneruskan kerjaya seninya dan bertekad menggunakan peluang keemasan ini.
“Alhamdulillah, setelah sekian lama dan percubaan beberapa versi bagi susunan lagu ini membuahkan hasil yang memuaskan. Saya berharap lagu “Petanda” sesungguhnya menjadi petanda baik bagi kerjaya saya dalam industri muzik tanah air,” katanya.
“Petanda” mengisahkan pelbagai petunjuk yang sering diterima melalui gerak hati dan naluri terhadap seseorang namun khuatir perasaan itu hanya mainan fikiran sahaja.
“Petanda” adalah lagu ciptaan Neo sepenuhnya dan turut mendapat sentuhan emas Edry Abdul Halim dengan susunan lagu serta adunan muzik yang mantap yang dihasilkan di studionya di Manchester, England. Penggambaran video muziknya pula dijalankan sekitar Tasik Cyberjaya diarahkan oleh Syahmi Afif.
“7 Minggu Sebelum Kahwin” adalah filem terbitan bersama KRU Studios and Bloombordia arahan Eira Rahman, bakal ditayangkan secara eksklusif di Astro First pada bulan Julai nanti.
“Saya percaya dengan penghayatan lagu yang baik oleh Dian bagi “Petanda” bukan saja akan membantu mempromosikan filem tersebut tetapi juga memperkenalkan Dian Hashim sebagai salah seorang penyanyi berbakat tanah air” ujar Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Syarikat KRU, Datuk Norman Abdul Halim.
Lagu “Petanda” kini boleh distrim di kesemua platform digital sementara video muziknya akan ditayangkan di saluran Youtube KRU Music mulai 3hb Jun 2022. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi [email protected]
Must-Watch Video