HIBURAN

Diana Danielle Kongsi Insiden Hitam ‘Disentuh’ Kru Produksi - “Saya Terus Cakap Jangan..”

Umirah Halim 18/08/2025 | 13:55 MYT
Pelakon, Diana Danielle tampil berkongsi pengalaman hitam apabila pernah berdepan dengan gangguan seksual daripada kru produksi ketika remaja.

Kisah itu dikongsikan Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, menerusi podcast Berani Bicara: Jangan Sentuh Saya anjuran Children Protection Society baru-baru ini.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika salah seorang kru produksi tersebut ingin menghantarnya pulang ke rumah.

“Waktu saya umur 15, 16 tahun, ibu saya ibu tunggal jadi dia tak dapat ambil saya balik atau teman saya di set sepanjang masa.

“Ada seorang lelaki kru produksi hantar saya balik rumah dengan kereta dia. Waktu dekat lobi, saya nak turun tapi dia kata jangan sebab dia nak sembang.

“Tiba-tiba dia pegang paha saya. Saya pernah jadi mangsa (gangguan seksual) sebelum ini, jadi saya terus cakap ‘jangan sentuh saya’. Kalau nak cakap dengan saya, jangan sentuh. Kita perlu ada ketegasan,” katanya.

Kongsi Diana, walaupun keadaan ketika itu menakutkan kerana berada dalam ruang yang terkurung, namun ketegasan amat penting agar lelaki terbabit tidak terus mengambil kesempatan.

Malah, pengalamannya sebelum ini yang juga pernah berdepan dengan situasi yang sama menjadikan dirinya lebih berani untuk berhadapan dengan lelaki tersebut.

“Memang menakutkan nak bertegas sebab ketika itu di dalam kereta, apa-apa boleh berlaku. Tapi saya terus marah, jadi dia faham dia tak boleh buat lebih.

“Saya sangat bangga dengan diri saya,” ujarnya.

Ketika di awal video podcast tersebut, pelakon Imaginur itu, turut mengimbas kembali pengalaman lebih awal ketika berusia enam tahun apabila diganggu seorang kenalan ayah tirinya.

“Kawan ayah tiri saya datang ke rumah. Dia sangat baik, peramah dan suka budak-budak tapi ada satu insiden dia pernah ambil kesempatan ke atas diri saya.

“Sejak itu saya mula menjauhkan diri. Lama kelamaan dia tunjuk perangai pelik dan ketika kejadian itu berlaku saya terkaku dan lari keluar,” katanya.

Tambah Diana, pengalaman tersebut turut dipendam selama bertahun-tahun kerana ketika itu dirinya hanyalah seorang kanak-kanak.

Malah, sehingga kini, ibunya masih belum mengetahui insiden tersebut.

“Sampai sekarang ibu saya belum tahu hal ini. Sebelum episod podcast ini, saya tak pernah salahkan ibu saya.

“Saya rasa macam ia satu beban rahsia yang saya simpan. Dia juga seorang yang beragama, sebab itu saya terkaku.

“Saya bukan nak serang sesiapa tapi saya nak tekankan kadang-kadang manusia ini ada yang bertopengkan syaitan, dan ia boleh datang daripada keluarga terdekat,” katanya.

#KRU #Pengalaman #Produksi #Diana #Danielle #Sentuh