Viral
Dibandingkan Dengan Adik-Beradik Lain, Kak KM Pernah Terasa Hati Dengan Normah Damanhuri - “Dia Tetap Ibu Saya”
Pempengaruh terkenal, Kak KM, berkongsi keadaan terkini hubungan antara ibunya, Normah Damanhuri, yang semakin baik selepas berlakunya perbalahan antara ibu dan anak.
Menurut Kak KM, atau nama sebenarnya Liana Rosli, perbalahan itu berlaku disebabkan perubahan sikap ibunya apabila usia semakin meningkat.
Namun, sebagai seorang anak, dia tidak terlalu mengambil hati tentang perkara tersebut dan menganggap setiap keputusan yang dibuat oleh ibunya adalah tepat.
“Sebenarnya, saya dan adik-beradik sangat baik dan terlalu rapat dengan mak kami. Jadi, bila kami terlampau rapat, kami akan cerita semua perkara dan berkongsi segala hal dengan mak.
“Tapi bila mak semakin berusia, sikap dia berubah, dan saya mula tertanya-tanya kenapa mak semakin berbeza. Kadang-kadang, perkara yang selalu dia sokong tiba-tiba dia tak sokong, dan ada masanya apa yang dia cakap tidak mengambil kira perasaan saya.
“Saya sebagai seorang anak tak ambil kisah sangat tentang perkara itu sebab saya fikir dia tetap mak saya. Dia tetap betul. Bila saya buat siaran langsung, saya lebih suka meluahkan perasaan kepada pengikut saya sebab saya rasa mereka lebih rapat dengan saya.
“Tapi perkara itu tidak berlarutan. Kami tidaklah bergaduh teruk. Saya dan mak dah okay sekarang. Alhamdulillah,” katanya kepada Gempak.
Terasa Hati
Tambahnya lagi, personaliti terkenal itu mengakui ibunya terasa hati kerana dia sering berkongsi masalah peribadi mereka dengan pengikutnya semasa siaran langsung.
Menurut pendapat ibunya, tindakan itu tidak patut dilakukan kerana hal peribadi tidak perlu diketahui oleh orang luar.
Namun, Kak KM mempertahankan tindakannya dengan menyatakan dia seorang yang berterus terang dan tidak suka memendam perasaan. Jika dia menghadapi sesuatu isu, dia lebih suka meluahkan secara jujur, sama ada perkara itu positif atau negatif.
“Memang mak saya terasa dan dia anggap kenapa saya perlu bercerita masalah keluarga dengan pengikut semasa siaran langsung. Benda itu sebenarnya tidak perlu orang tahu.
“Tapi saya memang jenis tak suka simpan perasaan terhadap sesuatu masalah. Saya telus. Kalau saya suka sesuatu, saya akan cakap. Kalau saya tak suka, saya tetap akan cakap.
“Bagi saya, perkara itu tidaklah sampai membuka aib keluarga. Kita sendiri tahu batas. Jadi, sampai situ sahaja, takkan kita nak cerita lebih-lebih lagi, kan? Kalau orang luar tanya tentang mak saya, saya akan cakap perkara itu sudah selesai dan hubungan kami sudah baik,” jelasnya.
Dibandingkan dengan kakaknya
Selain dari itu, pempengaruh tersebut juga mengakui dia pernah terasa hati apabila ibunya kerap membandingkan dirinya dengan kakaknya yang kedua.
Bagaimanapun, dia tidak pernah memanjangkan perasaan terhadap ibunya, walaupun ibunya sering membandingkan dirinya dengan kakaknya.
“Kami lima beradik, jadi memang ada juga terasa. Mak saya akan lebihkan adik saya yang bongsu dan kakak saya yang nombor dua.
“Memang terasa, tapi nak buat macam mana, kan? Mak saya pun lebih gemar rujuk saya dengan kakak nombor dua. Itu sahaja.
“Tapi, saya taklah kecil hati sampai nak merajuk. Saya okay sahaja. Ada juga masa-masanya dia cari saya,” katanya.
Terdahulu, Kak KM pernah meluahkan perasaannya ketika melakukan siaran langsung di aplikasi TikTok, di mana dia mengakui terasa hati dengan sikap ibunya yang sering membandingkan dirinya dengan adik-beradiknya yang lain.
BERITA BERKAITAN: Kak KM Dahagakan Perhatian, Suka Dikecam Haters? | Motif Trending
BERITA BERKAITAN: Kak KM Menangis Kenang Jasa Ibu Mentua, Sanggup Berhutang Beli Aircond Demi Keselesaan - “Mengandung Aku Berpeluh Je…”
BERITA BERKAITAN: "Kami Sering Lihat Mak Baring Di Riba Ayah, Mak Tak Pernah Kasar Dengan Kami" - Kak Nona Percaya Rezeki Memuliakan Keluarga, Selesa Kerja Adik-Beradik!
BERITA BERKAITAN: “Batang Pun Tak Sekata” - Dituduh Hidung Tak Ori, Kak KM Tampil Tunjuk Bukti Pada Netizen
Must-Watch Video