Laman Utama
Dibawa Ke Hospital, Tahanan Palestin Hamil 9 Bulan Akhirnya Dibebaskan Dengan Ikat Jamin…
Suara rakyat hampir seluruh negara akhirnya ditunaikan apabila tahanan Palestin, Anhar Deek yang hamil sembilan bulan dibebaskan hari ini.
Aktivis kemanusiaan Malaysia, Nadir Al-Nuri berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya dengan memaklumkan wanita itu diikat jamin serta dibawa ke hospital untuk bersalin.
“Alhamdulillah, setelah ditekan masyarakat antarabangsa, tahanan wanita yang mengandung 9 bulan di dalam penjara penjajah, Anhar Ad-Deek dibebaskan sekejap tadi dengan ikat jamin sekitar RM50,000 dan arahan tidak keluar dari rumah keluarga.
“Beliau akan dibawa ke hospital untuk bersalin sebelum dihantar ke rumah.
“Ini pentingnya kita tidak membisu,” katanya.
Menerusi perkongsian itu, dia memuat naik foto dari Saluran LIVE Shebab.
Semalam, satu petisyen selamatkan tahanan Palestin itu dimulakan netizen di platform media sosial, change.org.
Petisyen yang dimulakan seorang individu itu bertujuan mendapatkan 150,000 tandatangan sebagai sokongan kepada usaha mendesak rejim Israel membenarkan Anhar melahirkan bayinya di luar penjara.
Anhar dijangka bersalin beberapa hari lagi dan tindakan Israel yang mahu wanita itu melahirkan bayinya di dalam penjara disifatkan sebagai bertentangan dengan hak asasi manusia dan nilai-nilai kemanusiaan.
Setakat jam 9 malam Khamis, petisyen itu berjaya mengumpul lebih 11,000 tandatangan.
Wanita berusia 25 tahun itu sebelum ini pernah menulis surat dari penjara untuk memohon bantuan kumpulan hak asasi manusia bagi mendesak pembebasannya seterusnya membolehkan dia bersalin di luar pusat tahanan.
Anhar ditahan tentera Israel sejak usia kandungannya lima bulan kerana dituduh cuba menikam seorang anggota rejim itu di penempatan haram Israel.