HIBURAN
Dibayar Tinggi & Dalam Mata Wang Dolar, Shila Amzah: “Saya Hanya Mampu Ucap Alhamdulillah…”
Penyanyi, Shila Amzah memberi respons mengenai dakwaan kadar bayaran untuknya membuat persembahan dibayar dalam bentuk mata wang Dolar.
Menurut Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah, 35, dia percaya rezeki yang diberikan tidak datang bergolek tanpa usaha keras.
"Saya hanya mampu ucap alhamdulillah, semua ini adalah rezeki. Saya percaya usaha keras dan kejayaan itu tidak pernah mengkhianati hasil.
"Daripada segi mahal atau tidak terpulang kepada individu yang menilai, saya tahu nilai saya. Bergantung kepada hak masing-masing.
"Berkaitan dibayar dalam mata wang dollar, apa yang saya boleh katakan di Malaysia saya terima bayaran dalam wang Ringgit. Jika di negara lain mengikut mata wang negara tersebut,” katanya kepada Gempak
Shila berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Raise The Star yang berlangsung di Petaling Jaya, pada Khamis.
Dalam masa sama, pelantun lagu Memori Tercipta itu tidak menganggap serius dakwaan segelintir warganet bahawa bakatnya lebih dihargai di China, sebaliknya menghargai sokongan positif peminat.
"Bercakap fasal dihargai, ketika saya baca komen di sosial media ramai yang hargai saya. Alhamdulillah, baik di negara sendiri mahupun negara luar.
"Saya juga gembira lihat apabila ramai berkongsi semula video persembahan saya di luar negara dan itu membuatkan saya lebih semangat untuk terus berkarya.
"Lebih dihargai di mana-mana itu bukan satu isu. Saya gembira apabila orang lihat bakat dan apa yang saya sudah usahakan,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan terkini, Shila bakal menjurikan program Raise The Star yang bakal bersiaran bermula 22 Jun ini di Astro Ria.
Selain Shila, kerusi juri turut dibarisi Ajai, Audi Mok, Ikhwan Fatana dan Aina Abdul.
Must-Watch Video