Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Dibenci & Digelar Psiko, Sherie Merlis Mahu Penonton Belajar Dari Watak Erma Di I-Tanggang

Izwan Isa
19/09/2021 05:51 MYT
Selepas episod pertama I-Tanggang disiarkan Isnin lalu, ramai antara penonton yang dilihat tidak berpuas hati dengan watak Erma lakonan Sherie Merlis.

Ada yang berpendapat bahawa Erma merupakan seorang ibu yang kejam dan ada juga yang menyifatkan penderaan yang dilakukan terhadap anaknya, Khay sebagai keterlaluan.

Sherie, 49, berkata, dia berasa gembira apabila mendapat tahu watak yang dilakonkan menerusi drama tersebut berjaya mencetuskan rasa marah dan benci dalam jiwa penonton.

“Apabila saya menerima sesuatu watak, saya akan cuba buat sehabis baik. Jika watak tersebut watak jahat, saya akan cuba buat sehingga orang ramai membenci watak tersebut dan tidak mahu mencontohi perangai negatifnya.

“Saya tidak kisah dikecam. Bagi saya, ia merupakan satu hal yang bagus dan menandakan mesejnya sampai,” ujarnya kepada Gempak.

Diarahkan oleh Wan Hasliza Wan Zainuddin, Wan Alauddin Wan Zainuddin dan Rashidi Ishak, drama siri original Astro terbaharu, I-Tanggang mengangkat realiti hidup penyakit mental Munchausen Syndrome By Proxy (MSBP), yakni kesanggupan untuk mendera seseorang demi meraih perhatian dan wang.

Mengulas lanjut, Sherie berharap agar rakyat Malaysia akan menjadi lebih peka terhadap kewujudan penyakit mental MSBP itu.

“Kesedaran tentang penyakit ini masih sediki0t dalam kalangan masyarakat kita. Justeru, saya berharap agar lebih ramai yang akan ambil tahu tentang MSBP selepas menyaksikan drama ini,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut Pensyarah Kanan Dan Pakar Psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Aida Syarinaz Ahmad Adlan, pendedahan isu seperti ini dalam kalangan penonton dirasakan penting bagi memberi kesedaran kepada mereka untuk mendapatkan rawatan jika terlihat atau mengalam simptom yang serupa.

“Apabila masalah-masalah sebegini dibincangkan dengan terbuka, ia memberi ruang kepada mereka yang bergelut dengan masalah tersebut untuk tampil mendapatkan rawatan.

"Bagi kes-kes yang jarang berlaku seperti MSBP, apabila ia diketengahkan melalui media massa agar masyarakat lebih sedar tentang kepelbagaian manifestasi masalah kesihatan mental, ia dapat meminimakan stigma tentang kesihatan mental.

“Mungkin ada dalam kalangan kita atau orang di sekeliling kita yang menunjukkan sikap yang mencurigakan atau tidak kena, dan masyarakat terlalu cepat untuk melabelkan mereka sebagai penipu, jahat, manipulatif dan sebagainya.

“Memahami masalah mereka bukanlah sekadar suatu justifikasi yang membenarkan mereka terus berkelakuan sebegitu, namun ia suatu peluang yang terbuka untuk cuba memahami cabaran hidup mereka serta ruang untuk mendapatkan bantuan untuk memulihkan keadaan mereka,” ujarnya.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.
#Watak #Jahat #Antagonis #Sherie Merlis #I-Tanggang
;