Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Diberi Gelaran ‘Tailor Gila’, Wanita Ini Raih Ratusan Ribu Ringgit Hanya Dengan Menjahit Baju

Gempak
12/04/2024 08:55 MYT
Menyedari ramai pelanggan terkesan dengan keadaan ekonomi negara ketika ini, seorang tukang jahit di Kompleks Bukit Jambul, Georgetown, Pulau Pinang mengambil pendekatan menjual baju kanak-kanak dengan harga murah.

Jolokan

Mahani Udit, 35, berkata, dia memahami beban yang ditanggung ibu bapa apabila perlu menyediakan wang untuk kelengkapan sekolah, menyambut Ramadan dan Syawal.

Diberi jolokan ‘tailor gila’, Mahani berkata, kesemua baju ciptaannya direka seperti baju mahal, namun dijual dengan harga yang murah.

“Sebenarnya saya mula jual baju raya untuk kanak-kanak ini sejak awal tahun kerana saya faham ada ibu bapa yang mahu buat persiapan awal.

“Saya buat penjualan melalui siaran langsung di Facebook dengan lingkungan harga antara RM20 hingga RM150 sepasang, mengikut reka bentuk.

“Saya tidak kisah jika saya raih keuntungan tidak begitu tinggi, asalkan kanak-kanak dapat rasa pakai baju cantik pada harga yang murah,” katanya baru-baru ini.

Hidup susah

Anak jati Kedah itu berkata, dia pernah hidup susah sebagai ibu tunggal beranak tiga dan sangat memahami kesusahan dihadapi oleh ibu bapa yang tergolong dalam golongan B40.

“Saya tahu macam mana hidup susah. Anak-anak saya dulu hanya pakai baju yang disedekahkan oleh mereka yang prihatin. Mereka merasa pakai baju baharu pun setelah saya belajar menjahit baju di YouTube.

“Saya cuba hasilkan baju yang berkualiti, reka bentuk cantik tetapi murah. Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan,” kongsinya.

Mahani berkata, sejak Januari sehingga menjelang Syawal, dia telah menjual lebih 10,000 pasang baju kanak-kanak yang dijahit sendiri dengan dibantu beberapa pekerja.

“Saya bersyukur kerana mampu menjana pendapatan ratusan ribu ringgit dalam penjualan baju raya kanak-kanak mampu milik ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

ARTIKEL BERKAITAN: Prince Syed, Isteri Gayakan Busana Raya Bertemakan Barbie, Sempat Ziarah Kubur - "Simple Jer Baju Kami Anak-Beranak"

ARTIKEL BERKAITAN: Raya Bersederhana, Siti Nurhaliza Utamakan Anak-Anak - "Cukup Saya Ada Sepasang Dua Baju Baharu, Pakai Jelah Yang Lama"

#Jahit Baju #Untung #Ratusan Ribu #Tailor Gila
;