Dicerca, Baby Shima Ulas Hasrat Nak Jadi Model Pakaian Dalam - “Jangan Jadi Artis Kalau Tak Boleh Kena ..."
Asyikin Mayudin
13/09/2022 01:00 MYT
13/09/2022 01:00 MYT
Penyanyi Baby Shima tampil menjelaskan luahannya mengenai keinginan untuk menjadi model jenama pakaian dalam di laman Instagram sekadar sindiran sahaja.
Menurut Shima, dia menyedari apa saja yang dikongsikan di laman sosial pasti akan mengundang kecaman netizen.
Bagaimanapun, penyanyi yang kini berada di Jakarta, Indonesia atas urusan kerja itu sudah kalis kecaman memandangkan ia asam garam dalam dunia hiburan.
“Sebenarnya posting itu saya saja perli. Tapi tak sangka netizen ambil serius pula.
“Bila saya buat apa saja, mesti netizen nak bising. Tapi saya okay saja kena kecam. Jangan jadi artis kalau tak boleh kena kecam,” katanya kepada Astro Gempak.
Sebelum ini, penyanyi lagu Lalai itu menyatakan kekecewaannya apabila dirinya tidak dipanggil untuk menjadi model pakaian dalam jenama popular iaitu Calvin Klein.
Baby Shima berkata, ramai artis di Malaysia sudah dipanggil menjadi sebahagian daripada model jenama tersebut namun dirinya belum diberikan peluang.
Malah, Baby Shima juga mengakui dia berasa cemburu apabila melihat netizen memuji setiap selebriti yang memperagakan pakaian dalam jenama tersebut.
Bukan sahaja perkongsian itu mengundang kecaman, tetapi penampilan Baby Shima yang memakai seluar warna coklat cerah sehingga menampakkan bentuk seluar dalamnya turut dikritik.
“Ikutkan apa yang saya pakai sama saja dari dahulu. Tak ada pun terdedah sangat. Kang saya pakai jubah bergelek, orang cakap saya hina agama pula,” ujarnya lagi.