Pelawak, Saiful Apek enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan sudah berkahwin dengan pengurusnya sendiri.

Apek ketika ditemui Gempak berkata, dia sudah lali dengan gosip dan kontroversi yang melibatkan dirinya.

“Sebelum ini orang kata saya berkahwin dengan Sabrina Ali dan Fiza Elite…Kali ini dengan pengurus sendiri pula?

“Saya sudah lali dengan kontroversi yang melibatkan diri say ani. Apa sahaja yang orang tidak cakap mengenai saya? Macam-macam saya dah kena,” katanya.

Tambah Apek, dia berasa kurang selesa untuk berkongsi mengenai kisah peribadi kepada umum.

“Yang sebenarnya, kalau boleh saya tidak mahu bercakap tentang hal peribadi saya. Saya kurang selesa lebih-lebih lagi saya ada anak-anak dan ahli keluarga.

“Mereka akan baca berita mengenai saya, berita betul ke tak betul ke diaorang akan baca…Tak manislah macam tu,” katanya.

Dalam pada itu ketika ditegur mengenai perubahan bentuk badan yang semakin berisi Apek mengakui dia kini lebih peka terhadap soal penjagaan diri, lebih-lebih lagi ketika meniti usia separuh abad.

Kata Apek, berat badannya memang sudah bertambah dan mengharapkan perubahan tersebut sebagai satu hal yang baik.

“Bukanlah nak kata dulu tak jaga, cuma pada usia sekarang saya cuba untuk kawal pemakanan yang diambil.

“Mungkin itu salah satu faktor kalau ada yang kata saya nampak makin berisi. Sebab kalau nak diikutkan, kami adik-beradik pun memang ‘slim-slim je’, ikut belah mak.

“Sebelum ini, lazimnya berat badan saya sekitar 50 kilogram sahaja. Tak turun tak naik. Sekarang dalam 65 kilogram macam tu.

“Harap jugalah, berat badan yang begini singal yang baik. Macam saya yang sudah masuk 52 tahun ini, Alhamdulillah tak ada penyakit-penyakit kronik yang dialami setakat ini,” katanya.

Ditanya sama ada perubahan fizikilnya itu sebagai tanda dirinya sedang bahagia, Apek menjelaskan dia sendiri tiada jawapan mengenai perkara tersebut.
“Entahlah saya rasa daripada dulu saya bahagia saja. Macam mana saya nak cakap ya... Saya pun tak tahu apa faktor sebenar.

“Cuma sejak tahun 2014 saya mula berhenti merokok. Dulu tabiat merokok itu memanglah berat.

“Dulu sehari kadang-kadang boleh sampai dua kotak. Sudah tujuh tahun berhenti,” katanya lagi.

Apek ditemui Gempak ketika Majlis Berbuka Puasa dan Malam Aspirasi & Anugerah Vieura 2021 di Bangi Avenue Convention Centre pada Ramada lalu.