Nama syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines menjadi trending di laman sosial selepas didakwa akan diberhentikan operasinya.

Menerusi laman sosial Twitter, nama Malaysia Airlines tular apabila ramai wargamaya berkongsi momen dan kenangan mereka bersama jenama penerbangan nasional negara itu sebagai tanda sokongan.

Menurut mereka, Malaysia Airlines adalah salah satu daripada khazanah dan kebanggaan negara yang perlu dikekalkan.

Di laman sosial Twitter juga, ramai wargamaya berkongsi foto-foto keratan pas keberangkatan, kemesraan anak-anak kapal, keselesaan berada di dalam penerbangan serta momen membanggakan sewaktu menaiki penerbangan ini.

Sebelum ini menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Idzham Ismail, Malaysia Airlines Bhd sedia untuk ditutup sekiranya rundingan dengan syarikat pajakan berhubung rancangan penstrukturan semula gagal.