Pengasas produk kecantikan Nor Shahadah Aisyah atau Cik Non hadir ke Bukit Aman, selepas dipanggil Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk membantu siasatan.

Cik Non dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman semalam (Khamis) berhubung kenyataan menghina rakyat Sabah sebagai penyebab Covid-19 meningkat.

Timbalan Pengarah JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, Cik Non tiba di Bukit Aman petang semalam selepas dipanggil untuk memberi keterangan.

"Pegawai penyiasat sudah merakam keterangan wanita itu.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998," katanya.

Pada Rabu lalu, kertas siasatan dibuka terhadap Cik Non dan akan memanggil wanita tersebut dalam masa terdekat.

Kertas siasatan itu dibuat susulan tindakan Cik Non yang didakwa menghina orang Sabah dengan menggelar diri mereka 'bodoh' dan miskin.

BACA: Hina Rakyat Sabah Sebagai Penyebab Covid-19 Meningkat, Cik Non Disiasat Polis

Terdahulu, Cik Non juga pernah mencetuskan kontroversi apabila memuat naik adegan tidak sopan bersama suami ketika mempromosikan produknya.

Wanita ini sekali lagi mencetus kekecohan dan menjadi tular di media sosial bergaduh dengan pengawal keselamatan kerana dilarang masuk ke pusat beli-belah selepas tidak memakai pelitup muka.

Sumber: Harian Metro
Gambar: Facebook Nor Shahadah Aisyah