Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Didakwa Ketagih S*ks, Narsistik Sehingga DiHaramkan Di China, Leehom Undur Diri

Maliah Surip
21/12/2021 06:45 MYT
Nama pesohor kelahiran Taiwan dan Amerika Syarikat, Wang Leehom mendominasi berita di media tempatan dan China selepas dia mengumumkan bercerai dengan isterinya, Lee Jinglei pada Rabu.

Leehom melalui kenyataannya mendakwa telah melakukan banyak kesalahan dalam perkahwinannya selain mendedahkan kini berhadapan masalah apabila bekas isteri tidak membenarkannya bertemu dengan tiga anak mereka.

Penyanyi dan pelakon yang menjadi idola itu kemudian menjadi buah mulut selepas bekas isterinya mendedahkan hal buruk tentang Leehom sehingga beliau mengambil keputusan untuk berehat dari dunia hiburan.

Perbalahan di antara mereka terjadi selepas Jinglei membuka satu persatu sikap ‘keji’ Leehom, 45.

Perempuan yang telah melahirkan tiga anak sepanjang menjadi isteri Leehom itu mendakwa bekas suaminya sebagai seorang yang ketagih seks, melakukan hubungan seks bersama pelacur, curang dan punya skandal serta narsistik (sejenis gangguan personaliti di mana seseorang individu itu mempunyai rasa kepentingan terhadap dirinya sendiri).

Jinglei juga mendakwa masalah ketagihan seks dan narsistik Leehom telah didignos secara sah oleh pakar, dedahnya menerusi beberapa siri ‘kisah benar’ di akaun Instagram peribadinya sejak beberapa hari lalu.

Dan kerana sikap sikap buruk tersebut, Jinglei mendakwa dia mengalami masalah gangguan mental termasuk tekanan melampau sepanjang menjadi isteri selebriti paling popular Taiwan itu.

“Anda lakukan semua untuk menyelamatkan diri. Namun adalah memalukan apabila anda berbuat salah tetapi tidak bertaubat. Teruskan menipu masyarakat,” tulis Jinglei lagi seperti dilaporkan Taiwannews.com.

Biarpun Leehom cuba menafikan semua tuduhan yang dikemukakan bersama bukti termasuk isu pembahagian harta melebihi RM99 juta termasuk kediaman mewah di Los Angeles, namun beliau akhirnya ‘tewas’.

Tidak lagi mahu bergaduh dengan bekas isterinya dan membuka lebih banyak keburukan di media sosial, Leehom melalui akaun Instagramnya mengumumkan mengundur diri buat sementara waktu dari dunia hiburan.

“Saya tidak lagi punya perkataan untuk dikatakan. Saya tidak menjaga perkahwinan dengan baik sehingga menimbulkan masalah kepada keluarga.

“Saya juga tidak memberi imej idola yang baik kepada masyarakat. Semuanya salah saya,” tulisnya Isnin lalu.

Ironi, sejak isu keburukan dirinya dibangkitkan, Leehom bukan sahaja kehilangan banyak kerjasama apabila klien menggugurkan namanya, tetapi kerajaan China juga telah mengharamkan beliau kerana tidak menjadi contoh atau idola yang baik kepada masyarakat.

Untuk rekod pasangan ini berkahwin pada tahun 2013 dan sering berkongsi foto mesra serta kebahagiaan mereka di laman sosial. Namun sejak beberapa bulan lalu, keduanya dilihat 'berhenti' memberikan perkongsian serupa sebelum memutuskan bercerai selepas lapan tahun hidup sebagai pasangan suami isteri.

Kredit Foto: Getty Images

#Penyanyi #Taiwan #Idola #“Seks” #“Wang #Leehom”
;