Pengarah, penerbit dan pelakon Datuk Hans Isaac menegaskan kiriman mesej yang dihantar kepada aktres Nur Fazura adalah bersifat peribadi.

Semalam, wanita itu menafikan tuduhan penampilannya dan suami, Fattah Amin sebagai penyampai trofi di Festival Filem Malaysia 30 (FFM 30) Sabtu lalu adalah atas permintaan peribadi, selain menjadi syarat yang perlu dipenuhi penganjur.

BACA: "Ini Adalah Tuduhan Yang Berat Kerana Sebagai Selebriti Yang Sudah 17 Tahun ....." - Fazura Nafi Letak Syarat Tampil Bersama Fattah Amin

Fazura turut mendakwa dia menerima mesej melalui kiriman WhatsApp daripada Hans yang menyatakan rasa kecewa atas apa yang berlaku, terutama permintaan Fazura untuk digandingkan dengan Fattah yang disifatkannya tidak mengikut tema slot berkenaan.

"Sebenarnya, pesanan mesej yang saya hantar kepada Fazura adalah bersifat peribadi kerana kami telah menjadi rakan selama lebih dari 15 tahun dalam industri ini.

"Ia bukan untuk pengetahuan umum. Saya terkejut apabila bangun pagi tadi perkara ini sudah keluar kepada media.

"Saya tidak pernah meninggalkan komen di media sosial atau bahkan di mana-mana media sekalipun.

"Sehingga kini, saya juga masih tertanya-tanya bagaimana hal ini boleh tersebar.

"Saya hanya bertanya kepada Fazura kenapa suaminya naik ke pentas sedangkan dia bukan penyampai anugerah kerana belum pernah meraih trofi kemenangan di edisi FFM sebelum ini.

"Saya membuat kesilapan apabila menghantar kiriman mesej kepadanya kerana ketika itu saya berasa kecewa apabila tidak diberitahu perkara itu akan berlaku di atas pentas," katanya ketika dihubungi Gempak.

Tambah Hans, dia menegaskan pada malam itu dia tidak diberitahu langsung mengenai gandingan Fazura dan Fattah oleh pihak produksi atau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Ketika saya bersama Maya Karin di atas pentas, kami tidak tahu perkara itu tengah berlaku.

"Satu kejutan tetapi apa sebenarnya kejutan itu? Saya ditanya oleh beberapa pihak di malam FFM, kenapa perkara itu berlaku?

"Saya cakap saya tidak tahu. Saya pergi sesi raptai majlis anugerah, mereka tidak hadir pada malam raptai yang berlangsung sehari sebelum FFM.

"Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku serta tidak diberitahu oleh pihak produksi atau FINAS," katanya lagi.

Tambah Hans lagi, dia akan melakukan penyiasatan bersama pihak FINAS dan Astro mengenai hal ini.

"I'm a bit lost right now. Saya akan melakukan penyiasatan dengan pihak FINAS dan Astro. Kalau betul saya salah, saya akan memohon maaf kepadanya secara peribadi.

"Tetapi saya tidak tahu di mana saya berdiri sekarang ini.

"Untuk perspektif saya sebagai artis yang naik ke pentas, saya tidak tahu langsung mengenai kejutan besar itu," katanya menutup perbualan.