Bekas peserta program realiti Da’i Syed mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii yang dikenakan terhadap dirinya di Kompleks Mahkamah Sesyen 3, Petaling Jaya hari ini.

Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Syah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, 25, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Tn Faiz Hj Dziyauddin.

Mengikut kertas pertuduhan, Syed didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita, di antara jam 3 pagi di sebuah rumah di Damansara Perdana, pada 17 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vitiya Monisha Paranthaman memohon tiada jaminan diberikan kepada tertuduh atas faktor keselamatan serta dikhuatiri mengganggu mangsa.

Peguam bela, Syed Amirul Syed Edros pula mengatakan bahawa tertuduh memberikan kerjasama yang baik ketika siasatan polis dan segala pencarian bukti di rumah tertuduh juga telah dilakukan oleh pihak berkuasa.

Maka dengan itu, peguam meminta agar jaminan diberikan dengan kadar minima susulan keadaan kewangan tertuduh yang terkesan.

Pendakwa raya turut meminta sekiranya jaminan diberikan, jumlah terbabit haruslah berjumlah RM100,000 serta tertuduh membuat surat pengakuan tidak akan menggangu mangsa sehingga kes dibicarakan.

Mahkamah Sesyen kemudian menetapkan tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000, beserta syarat tambahan antaranya tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes dibicarakan.

Sementara itu, tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret pula untuk pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atau cabul di kompleks mahkamah sama.

Selesai prosiding di sini, Dai Syed yang juga penyanyi akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atau merogol.