HIBURAN

Didakwa Pukul Linda Hashim, Ini Respons Beego - “Kalau Ada Insiden Kecil Berlaku Itu Perkara Biasa”

Ainun 06/03/2025 | 05:25 MYT
Pelakon Beego menafikan dakwaan berlaku keganasan dalam rumah tangganya bersama isteri, Linda Hashim yang menjadi punca aktres itu menfailkan cerai.
Beego atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, bagaimanapun memberitahu ada insiden kecil yang berlaku, namun menganggap sebagai asam garam dalam perkahwinan.
“Saya pernah beri komen sebelum ini, ingin saya jelaskan keganasan rumah tangga tidak berlaku. Cuma kalau ada insiden kecil berlaku itu perkara biasa,” katanya kepada Gempak.
Beego berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejurus usai sebutan kes perceraian, pada Khamis pagi.
Diminta mengulas mengenai proses sebutan yang sudah berlangsung, pelakon sitkom Puteri itu tetap dengan pendiriannya tidak mahu melepaskan Linda.
“Mahkamah tanya adakah saya mahu ceraikan isteri? Saya jawab tidak mahu. Saya akan cuba selamatkan rumah tangga ini daripada bercerai untuk kali ketiga,” jelasnya.
Dalam pada itu, bapa kepada tiga cahaya mata ini memberitahu sudah melalukan pelbagai usaha untuk menyelamatkan perkahwinan dengan Linda, antaranya memujuk dan memberi jambangan bunga.
“Pelbagai usaha sudah saya lalukan untuk selamatkan rumah tangga, usaha itu dibuat sejak dia keluar daripada rumah kelamin kami. Cuma dia keras (degil) sikit.
“Antara usahanya saya mesej dia melalui telefon, jumpa mak ayahnya, bagi dia bunga dan hantar bunga dalam kereta,” ujarnya.
Pada Mei 2023, Linda dan Beego hadir ke mahkamah sama bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.
Perkara itu berikutan mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac tahun sama.
Linda mendedahkan, mereka pernah bercerai buat kali kedua hanya selepas beberapa bulan kembali rujuk pada April 2023.
Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan perkara itu kerana bimbang dianggap mempermainkan institusi perkahwinan.
Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.
#Perkahwinan #cerai #Beego #Linda Hashim