HIBURAN

Didakwa Tak Wish Birthday Anak, Instagram Aliff Aziz Jadi Sasaran Warganet

Umirah Halim 15/07/2025 | 09:25 MYT
Akaun Instagram penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz dibanjiri komen warganet selepas dia dilihat tidak memberikan sebarang ucapan atau hantaran sempena ulang tahun kelahiran anak-anaknya baru-baru ini.

Sebaliknya, Aliff atau nama sebenarnya, Mohammad Aliff Aziz hanya memuat naik sebuah video ‘throwback’ memaparkan dirinya menyanyi secara akustik di Marina Bay, Olympic Walk, Singapura.
“Marina Bay, Olympic Walk.

"Unplugged, unfiltered, momen yang tidak dapat dilupakan,” tulisnya ringkas di kapsyen.

Tindakan itu bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengikutnya yang mempertikaikan keengganannya berkongsi tentang ulang tahun anak-anaknya, Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

“Besday anak tak wish ke bro?

“At least post something about the kids.

“Tak celebrate birthday anak ke?” komen beberapa pengguna.


Dalam masa sama, ada juga netizen yang tampil mempertahankan tindakan Aliff dan meminta orang ramai tidak terlalu cepat menghukum.

“Tak perlu kecam-kecam, dia bukan suami dan keluarga kita. Biarkan dia melalui perjalanan hidup dia sendiri. Diam dan ambil pengajaran sudah.

“Move on… Jangan toleh belakang. Jalan tanggungjawab sebagai ayah,” tulis pengguna lain.

Terdahulu, tular sebuah video majlis sambutan ulang tahun kelahiran dua cahaya mata hasil perkahwinan Aliff dan Bella Astillah iaitu Ayden, 8, dan Ara, 5.

Majlis meriah bertemakan superhero dan karakter animasi itu turut dihadiri tetamu jemputan yang mengenakan pakaian mengikut tema termasuk Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq yang mencuit perhatian ramai apabila tampil dengan kostum Superman.

Setakat ini, Aliff Aziz belum memberikan sebarang kenyataan berhubung perkara berkenaan.
#Anak #Birthday #Aliff #Aziz #Wish