Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Laman Utama

Didakwa Tidak Layak Masuk GV9 Kerana Masih Relevan, Shila Amzah: “Kita Kena Fokus Pada ‘Pinggan’ Masing-Masing

Izwan Isa 07/09/2022 | 07:20 MYT

Semalam, penyanyi Shila Amzah diumumkan sebagai salah seorang peserta bagi pertandingan nyanyian popular, Gegar Vaganza musim yang kesembilan.

Bagaimanapun, menerusi tinjauan di media sosial, ada segelintir dalam kalangan netizen yang kurang berpuas hati dengan pemilihan Shila sebagai salah seorang daripada 13 peserta terlibat.
Pada pendapat mereka, Shila masih lagi muda dan relevansinya dalam industri muzik masih kukuh, sementelah baru sahaja menjuarai program The Masked Singer Malaysia musim kedua dan juga sedang mempromosikan single baharu bersama Liza Hanim iaitu Bahagiakan Dia.
Begitupun, menurut tuan empunya badan, dia sejujurnya tidak kisah jika penglibatannya dalam Gegar Vaganza 9 dihakimi oleh netizen. Kongsi pelantun lagu Patah Seribu itu, dia lebih rela dikritik tentang berdasarkan karyanya berbanding soal peribadi.
“Sejujurnya, dalam kehidupan seharian saya sebagai anak seni, apa-apa yang kita buat akan dihakimi oleh khalayak. Saya lebih rela dihakimi dengan karya saya atau apa-apa yang saya akan buat di atas pentas GV berbanding dengan kisah peribadi.
“Bagi saya, kritikan seperti ini yang mungkin akan menjadikan saya sebagai seorang penghibur menjadi lebih baik. Sebab pada akhirnya, kita semua masih lagi belajar dan menimba ilmu. Kita tak pernah berhenti daripada berbuat itu,” katanya kepada Gempak.
Shila ditemui pada sidang media Gegar Vaganza 9 yang diadakan di Menara Kuala Lumpur semalam.
Sementara itu, Shila berkata, anugerah yang diberikan oleh Allah SWT itu berbeza-beza kepada setiap umatnya.
“Saya sentiasa ingatkan diri saya bahawa anugerah yang Allah beri kepada kita berbeza-beza. Saya kena sentiasa ingatkan diri yang kita kena fokus pada ‘pinggan’ masing-masing.
“Apa yang Allah dah berikan pada kita, pinggan kita, lauk kita itu, kita guna sehabis baik,” katanya lagi.
Selain Shila, 12 peserta lain yang turut serta dalam GV9 adalah Jaclyn Victor, Bob Yusof, Tomok, Asheed Def Gab C, Dina Nadzir, Haida, Pat Candy, Roy Kapilla, Tom, Hazrul Nizam dan Fuad Rahman dari Singapura serta peserta berkumpulan, VE.
GV9 yang akan mula bersiaran 18 September ini dari Auditorium MBSA Shah Alam menampilkan Nabil Ahmad sebagai pengacara.
Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100, 000, naib juara pula akan meraih RM50,000, tempat ketiga akan menerima RM30, 000, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.
Penerbitan GV9 turut disokong oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi. Manakala Adabi dan CUCKOO turut menghulurkan sokongan selaku Penaja Bersama. Sidang media ‘GV9’ turut dibawakan dari Menara Kuala Lumpur.
Selain itu, penganjuran GV9 juga dimeriahkan dengan kolaborasi bersama Astro GO, Gempak dan Ria X selaku Rakan Digital serta SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi dan disokong oleh Gegar untuk musim ini.
Eksklusif untuk pelanggan setia Astro, mereka berpeluang untuk menyaksikan GV9 secara LIVE dengan menjawab tiga soalan mudah di astro.com.my/gv9. 10 pasang tiket sedia untuk dimenangi setiap minggu.

#Gegar Vaganza #Shila Amzah #GV9
;