Tampil dengan single terbaru berjudul Amaran, penyanyi Siti Nordiana menafikan lagu berkenaan mempunyai hubung kait atau ditujukan kepada pihak-pihak tertentu.

Menurut Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, tajuk lagu tersebut sudah terlebih dahulu ditetapkan setahun yang lalu dan ia tidak sesekali mempunyai kaitan dengan kontroversi yang menimpanya ketika ini.

Jelas Nana, dia juga tidak menjangkakan orang ramai khususnya peminat akan mengaitkan hantara promosi single berkenaan di Instagramnya dengan apa yang sedang berlaku.

“Bagi Nana memang tiada kena mengena pun dengan Nana. Tajuk lagu Amaran ni daripada awal lagi dah ada, so memang tiada kaitan.

“Untuk komen netizen pula memang Nana tak jangka sebab daripada awal, Nana just follow rangka promosi.

“Tak ada la fikir sangat tentang komen. Nana pun tak pasti macam mana orang boleh sangka macam tu.

“Tajuk dia memang Amaran, tapi bukan nak bagi amaran dekat sesiapa pun, ia secara kebetulan,” katanya.

Ditanya bagaimana kehidupannya selepas terpalit dengan kontroversi baru-baru ini, Nana mengambil pendekatan untuk tidak terlalu memikirkannya.

“Untuk kehidupan, Nana teruskan saja macam biasa.

“Nana tak mahu ambil tahu apa yang berlaku yang penting Nana fokus untuk kerjaya.

“Lagi pun isu ini masih dalam proses mahkamah, so kita follow je apa yang mahkamah tetapkan,” katanya.

Nana berkata demikian ketika sidang media majlis pelancaran single terbaru Amaran.

Menerusi lagu berkenaan, Nana buat pertama kalinya berduet dengan rapper wanita, Bunga.

Anda boleh dengar lagu berkenaan di kesemua pelantar digital bermula hari ini.

Muzik video pula akan dilancarkan di YouTube Warner Music Malaysia bermula 3 Disember 2021, jam 9 malam.

A post shared by Siti Nordiana Alias (@sitinordiana)

Terdahulu, Siti Nordiana memfailkan saman terhadap lima defendan termasuk dua rakan artis atas dakwaan memfitnahnya di platform Instagram.

Siti Nordiana selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates dengan menamakan Lan Solo, Nur Sheila dan Syura, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi atau Aida G.

Dalam saman itu, Siti Nordiana menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Writ saman yang dihantar secara e-mel itu, turut menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan amaun ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.

BACA: Proses Mediasi Gagal, Siti Nordiana Tetap Heret Kes Saman 5 Sekawan Ke Mahkamah!