Hiburan
Didie Alias Syukur Anak-Anak Berjaya Dalam Akademik Walaupun Pernah Tinggal Celah Dapur Untuk Membesarkan Mereka
Pelakon, pengacara dan pelawak Didie Alias mengakui pernah melalui detik sukar dalam hidup ketika mula-mula bergelar ibu tunggal.
Didie berkata, keperitan hidup ketika itu bagaimanapun tidak dijadikan alasan untuk terus bersedih dan berputus asa.
“Waktu itu susah macam mana pun saya, saya tanamkan azam untuk terus sekolahkan anak-anak saya.
“Saya pernah tinggal di celah dapur sebab tak ada tempat tinggal. Saya bersyukur sangat sekurang-kurangnya ada tempat untuk anak-anak berteduh.
“Saya tak akan lupa jasa kakak angkat saya yang sudi tumpangkan rumah dia untuk kami. Kasihan juga pada dia sebab rumah yang kami tinggal tu ‘studio apartment’ yang hanya ada dua bilik.
“Kebetulan salah satu bilik sudah disewakan kepada orang lain. Jadi dia buat satu bilik ‘khas’ untuk anak-anak saya.
“Dia yang jaga anak-anak saya apabila mereka saya tinggalkan untuk bekerja,” katanya.
Tambah Didie lagi, kejayaan anak-anaknya hari ini sedikit sebanyak mengusik naluri keibuannya setiap kali terkenangkan kepayahan hidup suatu ketika dulu.
“Saya tidak minta mereka membalas jasa baik saya. Sebagai seorang ibu saya hanya minta mereka tidak hantar saya ke rumah orang-orang tua je nanti.
“Sebagai bekas ibu tunggal, saya harap mereka yang pernah mengalami nasib seperti saya tidak berputus asa. Saya memang nekad demi anak, walaupun pernah terdetik dalam hati mampukah saya nak jaga lima orang anak ini.
“Macam-macam kerja saya buat termasuk kerja di siang hari, malam berniaga di pasar malam sebab saya memang tak ada duit.
“Saya tinggalkan anak pada kakak angkat dan jumpa mereka seminggu sekali. Saya pinjam duit RM5 daripada dia masa mula-mula nak keluar cari kerja dulu,” katanya mengimbas kenangan lalu.
Didie berkata demikian ketika ditemui Gempak pada Majlis Pelancaran LeFest Mega Raya 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada petang Rabu.
Bermula 2016, LeFest Tour sudah menjelajah 20 lokasi negeri terutama di Sabah, Sarawak dan Brunei dan tahun keempat ini, 500 usahawan akan berkampung di PWTC sepanjang Ramadan.
LeFest Mega Raya akan berada di PWTC bermula 8-10 Mei 2020 pada jam 10 pagi hingga 4 pagi bertemakan Balik Kampung.
Pelbagai aktiviti menarik bakal disajikan kepada penonton termasuk 50,000 hadiah percuma, family bertuah raya, IFTAR bersama selebriti dan anak-anak yatim dan tahfiz, raya boxing hour, teka duit raya, bubur lambuk percuma, balik kampung percuma, mewarna raya, kuih raya 1 balang 1 ringgit dan banyak lagi. Wow!