"Diejek 'Gajah' Sampai Minum Air Detoks Lemon Banyak-Banyak" - Haneesya Hanee Dedah Adik Menjadi Mangsa Buli Di Sekolah

Amri Hassan
Jun 26, 2019 04:10 MYT
Pelakon dan model Haneesya Hanee mendedahkan adik lelakinya antara individu yang menjadi mangsa buli di sekolah.
Bakal menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini, Hanee memberitahu adik lelakinya kini tertekan apabila sering diejek dengan panggilan gajah sejak tiga tahun lalu.
"Semalam adik diejek 'gajah' berkali-kali oleh seorang budak dan apabila dia pulang ke rumah dia mula meminum air detoks lemon banyak-banyak.
"Pagi tadi dia tidak mahu ke sekolah namun kami memaksanya pergi juga memandangkan peperiksaan sudah hampir tiba.
"Apabila di sekolah dia berkurung di dalam tandas dan tak mahu keluar sampaikan ibu saya terpaksa ke sekolah untuk melihat keadaannya," cerita Hanee mengenai kejadian yang berlaku semalam.
Situasi itu menyedarkan Hanee bahawa situasi buli boleh berlaku di mana-mana sahaja kepada sesiapa sahaja tidak mengira saiz atau rupa.
"Ini membuktikan bahawa kata-kata itu boleh meninggalkan kesan dalam diri seseorang tak kira sekuat mana pun diri mereka.
"Sebagai ibu bapa, anda sepatutnya sering mengingatkan anak-anak agar tidak menggalakkan amalan buli. Segalanya bermula dari rumah!
"Saya kasihan melihat adik saya sendiri terpaksa melalui perkara sebegini pada usia baru 12 tahun.
"Sekolah sepatutnya menjadi lokasi paling menyeronokkan untuk menimba ilmu," tambah Hanee lagi.
Kejadian membabitkan pelajar sekolah menjadi topik hangat sepanjang minggu ini.
Terdahulu, seorang guru lelaki dimarahi oleh ibu kepada seorang pelajar perempuan yang dirotan akibat mengejek guru berkenaan dengan panggilan pondan.
#Buli #Adik #Haneesya Hanee