Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Dihempap Motosikal Suami Seberat 300kg, Farah Asyikin Cedera!

Syafiqah Jalal
23/08/2018 00:47 MYT
Penyanyi Farah Asyikin mengalami kecederaan di kaki kirinya selepas dihempap oleh motosikal berkuasa tinggi seberat 300 kilogram (kg) milik suaminya.

Farah Asyikin berkata kecederaan itu menyebabkan ligamen sebelah kaki kirinya koyak.

Bekas bintang Gegar Gema Vaganza musim kedua 2 (GGGV) itu berkongsi cerita insiden yang berlaku kepada kakinya di akaun Instagram (IG) miliknya.

“Sebenarnya saya cuba mengalihkan motosikal berkuasa tinggi milik suami seberat 300kg untuk memberi ruang kepada tanaman baru dibeli. Malangnya, saya pula dihempap.

“Saya menyelamatkan motosikal itu daripada terhempas tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri. Alhamdulillah tiada sebarang kerosakan pada motosikal itu sebaliknya saya pula cedera

“Kedengaran bunyi seperti ‘retak’ sewaktu saya menarik kaki kiri daripada motosikal itu. Saya menangis meminta tolong anak saya Owais yang sedang duduk di depan rumah,” ceritanya.

Menurut Farah setelah ke hospital membuat pemeriksaan, dia baru mengetahui mempunyai kecederaan lama pada kaki kirinya.

“Kecederaan mengakibatkan satu ligamen koyak manakala satu lagi hampir terkoyak. Rupanya, kaki kiri saya juga ada kecederaan lama iaitu tulang retak.

“Saya mendapat kecederaan itu selepas terjatuh empat tahun lalu akibat terjatuh daripada tangga. Saya tidak pergi ke hospital pun ketika itu,” beritahunya.

Farah bagaimanapun bersyukur kecederaannya tidak seteruk mana dan keluarganya setia di sisi menjaganya.

“Alahamdulillah, cuma ligamen terkoyak saja dan bukannya patah atau retak. Terima kasih buat suami yang membawa saya ke hospital dan pihak hospital atas jagaan rapi terhadap saya,” katanya.

#Penyanyi #Penyanyi #Farah Asyikin #Cedera #GGV2
;