Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Dihukum Penjara & Denda, Bekas Suami Penyanyi Ditegur Majistret – “Isteri Bukan Punching Bag”

Syafiqah Jalal
22/11/2022 08:55 MYT
Bekas suami penyanyi yang juga ahli perniagaan akhirnya dihukum penjara tiga bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret, di sini, tadi, selepas didapati bersalah memukul isterinya.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Reduan Mahamood, 58, yang mengaku bersalah.

Sekiranya tertuduh gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan tambahan hukuman penjara selama sebulan.

Nik Siti Norazlini dalam hujahnya turut menasihati tertuduh dan mengharapkan hukuman itu dapat memberi pengajaran kepadanya.

"Seorang isteri adalah pendamping bukannya 'punching bag'. Saya harap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada kamu. Jangan buat lagi pada anak, isteri dan kepada sesiapa sekali pun," katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Adriana Mohd Arif, 45, dengan memukul serta menendang mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Batu 9, Cheras, di sini, pada 14 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shafiq Ahmed Bazari.

Terdahulu, Mohd Shafiq memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap Reduan dengan alasan dia sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Malah katanya, tertuduh yang juga menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi adalah penyara utama keluarga.

Bagaimanapun Norfarhanim memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya sebagai pengajaran supaya tertuduh lebih bijak dalam mengambil sebarang tindakan pada masa akan datang.

Pada 19 November lalu, Harian Metro melaporkan polis menahan bekas suami penyanyi dangdut yang memukul isterinya sebelum kejadian itu tular di media sosial, baru-baru ini.

Kejadian itu dirakam seorang individu sebelum dimuat naik di media sosial sehingga tular pada 17 November lalu.

Video berdurasi satu minit tujuh saat itu memaparkan lelaki berambut panjang menarik tudung wanita berkenaan sebelum mangsa diheret dan ditendang berkali-kali di muka serta badan.

Rakaman juga menunjukkan kanak-kanak perempuan menangis sambil mengangkat tangan sebagai tanda memohon maaf kepada individu terbabit.

Sumber: Harian Metro
#Suami #Isteri #Penjara #Pukul #Bekas #Amalina #Denda #dihukum
;