Bintang popular Indonesia, Bunga Citra Lestari, 38, menafikan dakwaan segelintir individu yang mengatakan dia dijangkiti Covid-19 selepas pulang dari percutian Bali.

Menurut Bunga Citra Lestari atau lebih mesra disapa dengan BCL berkata dia menjadi kontak rapat beberapa penarinya dan disahkan positif selepas mereka bertemu pada 10 Jun lalu.

"Saya pergi ke Bali dari 29 Mei hingga 2 Jun lalu. Saya sudah melakukan aktiviti dan mula bekerja di Jakarta dengan menjalankan proses yang ada dan melakukan ujian calitan pada 12 Jun lalu dan keputusannya negatif.

"Beberapa orang penari saya disahkan positif pada 13 Jun selepas bertemu dengan saya pada 10 Jun lalu.

"Saya lakukan ujian calitan lagi pada 14 Jun dan disahkan positif," katanya menerusi Instagram (IG).



Dalam pada itu, pelantun lagu Cinta Sejati memberi peringatan tegas pada semua pihak agar mendapatkan info tepat sebelum menyebarkan berita.

"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa saya dijangkiti Covid selepas bercuti di Bali.

"Mohon dapatkan pengesahan info terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan," katanya lagi.

Sebelum ini, isteri kepada Allahyarham pelakon Ashraf Sinclair menyatakan dia kini sedang menjalani isolasi kendiri selepas mendapat tahu dirinya positif virus berkenaan pada Selasa.