Air Zam Zam yang diperolehi dari tanah suci Makkah tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Menerusi laman sosial Twitter, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan satu larangan untuk sebarang urusan jual beli Air Zam Zam di Malaysia.

“Air Zam Zam TIDAK DIBENARKAN dijual di Malaysia. Kenapa? Air Zam Zam dikategorikan sbg air mineral semula jadi (AMS).

“Penjualan AMS wajib mendapat lesen daripada KKM mengikut Peraturan 360A, Peraturan-peraturan Makanan 1985. Dan tiada lesen dikeluarkan KKM bagi penjualan Air Zam Zam,” tulis kementerian itu menerusi satu kicauan.Jika anda ternampak ada pihak yang melakukan urusan jual beli Air Zam Zam, terdapat beberapa cara untuk anda salurkan aduan.

Anda boleh pergi ke Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah, Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan atau di laman web fsq.moh.gov.my untuk aduan ataupun mengajukan sebarang pertanyaan.

Jika didapati ada pihak yang disabitkan kesalahan mengimport, mengedar atau menjual air Zam Zam, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.