Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Dikecam Guna Autotune, Zaim Ajmal Tetap Bersikap Positif

Asraf Aided
25/02/2019 23:30 MYT
Penyanyi baru, Zaim Ajmal, 20, tidak tersinggung dengan kecaman yang diterima di akaun media sosial yang mengkritiknya kerana menggunakan teknik autotune dalam nyanyian.

Menurut Zaim, dia cuba untuk tidak membalas segala kecaman yang diterima menerusi ruangan komen dan mesej di akaun Instagramnya.

“Saya menerima banyak kecaman dari netizen yang mengkritik saya kerana menggunakan teknik autotune dalam nyanyian.

“Saya cuba untuk bersikap positif dan tidak bertengkar dengan mereka, mungkin perkara ini dapat dijadikan pengajaran buat saya untuk memperbaiki diri dalam industri seni ini.

“Sebagai pendatang baru, saya berharap agar saya dapat membina nama dengan baik dan semoga lagu saya mendapat penerimaan yang positif,” ujar Zaim.

Zaim berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran single pertamanya yang berjudul Gadees bertempat di TGV Cinemas, One Utama Jumaat lalu.

Single tersebut ditulis olehnya sendiri dan ia diterbitkan oleh Taja dari kumpulan Meet Uncle Hussain.

Gadees telahpun boleh didengar menerusi semua platform digital bermula 1 Februari 2019.
#Zaim Ajmal