Usahawan kosmetik terkenal yang juga memegang tanggungjawab sebagai Presiden Netizen untuk Big Stage 2022, Datuk Seri Vida meluahkan pendapatnya mengenai tugasannya membaca komen di Twitter.

Menurut Vida, netizen sepatutnya memberikan peluang kepadanya untuk memberikan pendapat tentang persembahan bintang Big Stage 2022 memandangkan dia juga merupakan seorang penyanyi.

“Saya melakukan tugas, masa yang diberikan sangat singkat. Nak baca Twitter kadang-kadang ada yang tidak sesuai.

“Saya rasa saya boleh je komen sama dengan juri, saya pun pandai nyanyi. Pernah menyanyi, lagu pun viral sampai over the world, tak akan lah saya tak pandai nak komen.

“Netizen bagilah saya peluang untuk meluahkan pendapat… Baca Twitter, anda boleh baca sendiri. Anda baca, puas hati dengan gaya sendiri.

“Kalau saya bacakan mungkin tak sampai mesej itu sebab bacaan saya dalam loghat Kelantan. Saya kena kecam sebab saya perlu baca Twitter,” katanya ketika ditemui Gempak.

Dalam pada itu, Vida juga menyatakan tidak ambil hati walaupun ada segelintir netizen yang melabelkan dirinya sebagai low class.

Come on lah, saya tidak boleh jadi berbeza daripada Datuk Seri Vida. Saya Datuk Seri Vida, beginilah saya.

“Walaupun anda kata low class ke tidak cara bercakap, nak promote diri lah, orang lain nampak high class lah.

I am me, macam inilah saya. Tidak boleh jadi orang lain,” tegasnya.

Terdahulu, Vida dikecam netizen kerana dikatakan tidak menjalankan tugas sebagai Presiden Netizen untuk membacakan komen-komen di Twitter.

Bagi menyuntik pembaharuan segar agar, buat pertama kalinya proses pemberian markah oleh panel juri akan dibuat secara langsung atau ‘live marking’ yang mana setiap pemarkahan akan tertera di skrin LED untuk tontonan umum.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjurikan Big Stage 2022 bersama komposer terkenal, Ajai dengan juri juara undangan ialah Aliff Aziz.

Manakala kerusi juri pedas dan presiden netizen pula diisi oleh pengarah, Michael Ang dan usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida minggu ini.

Dihoskan oleh Sherry Alhadad dan Alif Satar, tugasan mengacara bagi kapsul Studio Big Stage pula disandang oleh Isha Norsham.

Sementara itu, personaliti ERA, Muna Bella dan Haiqal dari Thinker Studios pula digandingkan sebagai pengacara untuk program Big Stage Live Plus yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Penerbitan Big Stage 2022 turut disokong oleh CUCKOO dan OPPO selaku Penaja Utama. Portal Gempak dan aplikasi SYOK turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA pula hadir sebagai Radio Rasmi.

Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50,000dan RM25,000 beserta trofi.

Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing- masing bakal membawa pulang RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.

Rangkaian program Big Stage 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 6 Februari.

Big Stage 2022 juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Enam bintang yang bertanding untuk minggu seterusnya ialah Aisha Retno, Yazmin Aziz, Danial Chuer, Elica Paujin, Tegar Septian dan Ajoi Zainal.

Terdahulu, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama (2018).

Bintang Korea Selatan, Han Byul muncul sebagai juara musim kedua (2019) manakala Azzam Sham pula diangkat sebagai juara musim ketiga (2020).