Dikecam Umum Berpeluh-Peluh Buat Anak Kedua, Nabil Mahir Minta Maaf – “Sebenarnya Saya Tersasul Nak Cakap…”
Syafiqah Jalal
08/08/2023 02:46 MYT
08/08/2023 02:46 MYT
Pengacara dan pelakon, Nabil Mahir memohon maaf kepada yang kurang senang dengan caranya mengumumkan mengenai cahaya mata kedua dengan penyanyi dan pelakon Ayda Jebat bulan lalu.
Nabil memberitahu Gempak, dia terkejut dan tidak tahu menahu mengenai komen netizen yang mengecamnya.
“Saya pun terkejut sebab selepas pengumuman itu saya tak ada pula lihat komen-komen di media sosial jadi tak tahu tahu ada yang tidak senang.
“Sejujurnya saya cuma nak berkongsi berita gembira itu sahaja dengan cara tersendiri tapi saya minta maaf jika ia menyinggung sesetengah pihak.
“Sebenarnya saya salah cakap, tak tahu kenapa saya boleh tersasul daripada nak cakap bersungguh- sungguh, tapi boleh jadi berpeluh peluh.
“Selepas cakap itu baru saya beritahu Ayda eh apa saya cakap tadi dan ia berlalu begitu sahaja,” katanya.
Nabil ditemui Gempak bersama Ayda Jebat dan anaknya Ana Nayla sempena pelancaran produk terbaharu Aurawhite yang berlangsung di Parkroyal Collection, Kuala Lumpur pada Isnin.
Menurut Nabil dia seorang yang tidak akan membaca komen netizen kerana apa-apa pun yang berlaku dia tahu tidak dapat memuaskan hati semua orang.
“Saya memang tak baca komen atau apa jua berita di tabloid sebab saya juga perlu jaga emosi dan pastikan saya gembira.
“Kalau saya tak gembira atau emosi terganggu ia akan beri kesan juga pada keluarga saya. Jaid saya tak mahu ambil tahu,” ujarnya.
Berbeza dengan isterinya, Ayda memberitahu dia membaca semua komen positif dan negatif netizen kerana lebih suka ambil tahu. Bagaimana pun tidak terkesan dengan apa jua kecaman yang diterima.
“Secara jujurnya saya dah biasa, Nabil pun tak risau kalau netizen cakap apa pun sebab saya tahu kawal emosi. Bagi saya emosi ini hanya digunakan untuk lakonan sahaja.
“Saya baca semua dan setakat kecaman begini ia perkara kecil,” katanya.
Pasangan itu mengumumkan bakal menimang cahaya mata kedua dan Ayda sedang hamil lima bulan di satu siding media drama-drama baharu Astro pada Julai lalu. Nabil yang membuat pengumuman itu memberitahu mereka telah ‘berpeluh-peluh untuk mendapatkan anak kedua’.
Ayda dan Nabil mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021 dan menimang cahaya mata pertama Ana Nayla pada 21 September 2021.