Pandangan pelakon Janna Nick mengenai keseimbangan hidup dan kerjaya ketika menjadi tetamu program Studio Sembang bersama Amelia Henderson mengundang pelbagai reaksi netizen.

Menganggap setiap orang mempunyai pendapat masing-masing, Janna menyedari dia sepatutnya menyusun ayat lebih baik agar ia tidak disalah erti.

“Saya okay saja orang tak setuju dengan apa saya cakap. Masing-masing ada pendapat masing-masing. Kadang-kadang bila berborak dengan kawan, orang luar takkan faham cara kita berbual.

“Mungkin saya patut menyusun semula ayat saya dengan lebih baik supaya tiada salah faham yang terjadi,” kata Janna ketika dihubungi Gempak.

Bagaimanapun Janna yang juga seorang pengacara memohon maaf kerana dia tetap berpegang teguh dengan pendapat yang dikemuka biarpun segelintir netizen tidak bersetuju.

“Kalau ada yang tak setuju dengan kata-kata saya dan rasa pendapat saya ni perlu diubah secara serta merta, saya minta maaf sebab saya akan tetap dengan pendapat saya,” ujarnya.

Nama Janna dan Amelia menjadi trending di Twitter disebabkan video pendek dua aktres itu berkongsi mengenai keseimbangan hidup dan kerjaya.

Menerusi video itu, Janna berkata dia berusaha mengukuhkan kewangan sendiri demi mencapai keseimbangan yang diimpikan dalam kalangan generasi kini.

“Saya macam perasan yang nowdays punya generasi mahu work-life balance… sorry ya, aku ada work-life balance itu masa umur aku 28 tahun, sekarang.

“Lepas aku ada certain amount, lepas aku dah beli dua buah rumah, ada kereta… saya cakap ini bukan untuk berlagak, tidak. Aku hanya nak cakap, aku boleh relax sikit selepas perolehi sesuatu dalam hidup.

“Kalau kau masih lagi nak orang kata pencapaian pertama dalam hidup pun belum tercapai, jangan fikir nak ada work-life balance. Kecuali mak ayah kaya atau memang nak kahwin lelaki kaya,” katanya.